Tindakan tegas terhadap pegawai bersekongkol dengan sindiket pendatang tanpa izin
PEKAN, 27 Jun — Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyalahguna kuasa dalam hal membabitkan pendatang asing tanpa izin, terutama mereka yang bersekongkol dengan sindiket, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Kalau ada anggota yang terlibat melakukan kesalahan membawa masuk pendatang asing tanpa izin atau warga luar tanpa dokumen yang kita boleh anggap sebagai pemerdagangan manusia yang hanya beri kepentingan kepada sindiket semata-mata, ini semua kita akan ambil tindakan.
“Tindakan tegas ini sesuatu yang ada dalam peruntukan undang-undang dan kita mahu pegawai ini juga tidak bersama dengan kita lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah turut berterima kasih dan memuji peranan dimainkan anggota Rela yang banyak membantu kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19.
Ketika ini pun Rela masih bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, katanya.
Hamzah turut mengumumkan peruntukan RM640,000 bagi memperbaiki Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta kuarters Balai Polis Paloh dan Balai Polis Chini dengan peruntukan masing-masing RM200,000 dan RM150,000, selepas melakukan lawatan ke bangunan-bangunan terbabit hari ini.
Beliau menolak anggapan bahawa pengumuman peruntukan bagi memperbaiki aset PDRM semasa lawatannya ke Pahang pada hari ini, sebagai ‘gula-gula politik’ bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
“Peruntukan yang lulus serta merta ini bukan ‘gula-gula politik’ kerana anggota polis yang mengundi di sini hanya 18 orang sahaja.
“Oleh kerana lawatan saya sebagai Menteri, apabila kita lihat ada yang perlu diperbaiki, maka kita akan bantu,” katanya.
PRK DUN Chini dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.
— BERNAMA