Delegasi AS pelawat rasmi pertama ke Thailand
BANGKOK, 10 Julai — Delegasi tentera Amerika Syarikat (AS) menjadi pelawat rasmi pertama ke Thailand setelah kerajaan itu menarik sekatan pergerakan COVID-19, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Panglima Tentera Darat Diraja Thailand Jeneral Apirat Kongsompong pada Khamis menyambut Panglima Tentera Darat AS Jeneral James McConville untuk lawatan dua hari ke negara itu sebagai tetamu tentera.
McConville akan bertemu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan menandatangani Visi Strategik Tentera-ke-Tentera Thailand dan AS pada Jumaat, setelah kedua-dua negara menandatangani Pernyataan Wawasan Bersama 2020 untuk Perikatan Pertahanan Thailand-AS pada 17 November tahun lalu .
Anggota perwakilan dikenakan tindakan kawalan penyakit. Ketua kakitangan tentera AS diuji negatif untuk COVID-19 di Singapura sebelum penerbangannya ke Thailand. Beliau menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba di Bangkok.
Di bawah peraturan dikeluarkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, pelawat VIP diminta mematuhi jadual ditetapkan dan bergerak menggunakan kenderaan disediakan.
Mereka diiringi oleh pegawai kesihatan semasa lawatan singkat ke negara itu.
Setiap pengunjung harus memiliki sijil pengesahan kesihatan dan sijil kemasukan, yang membuktikan mereka lulus untuk masuk ke negara itu.
Semasa upacara rasmi atau lawatan, mereka perlu memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial. Selepas mengakhiri lawatannya ke Thailand, McConville akan berlepas ke Jepun.
— BERNAMA