Gangguan air: 26 peratus kawasan terlibat pulih setakat 9 malam
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Sebanyak 26 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual di Selangor dan Kuala Lumpur sejak semalam, telah pulih sepenuhnya setakat pukul 9 malam ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, 74 kawasan terlibat telah pulih, manakala 216 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.
“Peratusan pemulihan di Selangor iaitu wilayah Kuala Langat kini 75 peratus, Gombak (73 peratus), Klang/Shah Alam (sifar peratus) dan Petaling (49 peratus), manakala Kuala Lumpur (18 peratus).
“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan, untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihatkan pelanggan yang sudah menerima bekalan air, agar membiarkan pili air mengalir sehingga bekalan air kelihatan bersih dan jernih, bagi membolehkan sisa mendapan dialir keluar.
Pada 6 Julai, Air Selangor memaklumkan 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Lumpur, akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 14 hingga 17 Julai ini berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
— BERNAMA