Kapal tentera AS terus transit di Laut China Selatan
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Kapal tentera Amerika Syarikat (AS) akan terus transit di Laut China Selatan, kata Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS untuk Asia Selatan dan Tenggara Reed B. Werner.
Beliau berkata ia adalah sebahagian dasar Jabatan Pertahanan untuk memastikan kebebasan pelayaran dan lintas terbang di perairan antarabangsa.
“Jabatan Pertahanan mengekalkan kehadiran tentera yang konsisten di seluruh dunia termasuk di Laut China Selatan, kawasan kami melakukan operasi maritim secara berkala,” katanya.
Bercakap kepada Bernama dalam wawancara telefon dari Washington, Werner berkata apa yang dilakukan AS di kawasan maritim itu tidak boleh disamakan dengan China, katanya – merujuk kepada aktiviti Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) di Laut China Selatan.
“Kita perlu bezakan antara apa dilakukan AS dengan apa dilakukan RRC (Republik Rakyat China). Kami melakukan transit dan latihan bersama dengan rakan-rakan di rantau ini. Ia sesuatu yang bermanfaat dan berlaku di seluruh dunia. Kami menjalankan latihan bersama.
Beliau menambah sangat penting membiarkan laluan itu sentiasa terbuka.
Laluan maritim strategik itu menjadi pertikaian oleh beberapa negara – Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam yang menganggotai ASEAN – serta China dan Taiwan.
Ketegangan di Laut China Selatan memuncak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong peningkatan kegiatan ketenteraan China, termasuk membangunkan pulau buatan, dan AS juga bertindak meningkatkan kehadiran tenteranya sebagai tindak balas terhadap langkah China itu.
Pada Isnin, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan Washington menyifatkan tuntutan Beijing terhadap sebahagian besar Laut China Selatan sebagai tidak sah. Katanya, China tidak mempunyai alasan untuk secara sepihak mendapatkan haknya di rantau ini.
Sebagai reaksi balas, kedutaan China di AS menganggap tuduhan itu sama sekali tidak berasas.
Werner berkata China perlu menghentikan semua kegiatan tidak sah di Laut China Selatan, dan kembali patuh kepada undang-undang dalam menyelesaikan perselisihan dengan pihak menuntut yang lain.
Beliau berkata AS prihatin dengan tindakan berterusan tentera China di seluruh kawasan maritim dan Beijing mesti menghentikan “tingkah laku buli” itu untuk mencegah ketidakstabilan di wilayah berkenaan.
“Kami menyeru China menghentikan aktiviti ketenteraan di pulau-pulau yang diyakini tidak sah, kegiatan mereka tidak sah, dan hentikan apa yang dilakukan sekarang.
“Kawasan itu adalah perairan yang dipertikaikan dan kami melihat latihan ketenteraan berskala besar boleh menimbulkan ketidakstabilan. Kebimbangan mengenai perkara itu dimaklumkan kerajaan lain di rantau – secara terbuka dan peribadi,” katanya.
Werner berkata, kerajaan AS juga berulang kali meminta Beijing menyelesaikan perselisihan berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
AS juga katanya mendorong negara ASEAN terus berunding mengenai masalah ini dan melakukan protes secara terbuka atau tertutup kepada Beijing.
“Ia harus dilakukan setiap kali mereka mendapati sesuatu tidak betul berlaku, jangan sampai kedudukan mereka terhakis sedikit demi sedikit, dan itu harus dilakukan secara terbuka untuk menarik perhatian terhadap apa yang dipersoalkan.
“Itu penting,” tambah Werner.
— BERNAMA