Pembangkang Selangor bantah penjualan aset Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 14 Julai — Pembangkang di Selangor membantah tindakan kerajaan negeri mahu menjual 77 aset Yayasan Selangor membabitkan pelbagai jenis bangunan komersial dan unit rumah bernilai lebih RM45 juta.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rizam Ismail berkata, penjualan aset tersebut yang dikatakan bertujuan untuk mendapatkan kecairan tunai tidak boleh diterima dan disifatkan terburu-buru.

“Baru-baru ini kerajaan negeri menerusi iklan mempelawa dan mengeluarkan tawaran terbuka kepada mana-mana syarikat, individu dan ejen hartanah yang berminat untuk membeli aset Yayasan Selangor.



“77 aset tersebut melibatkan bangunan komersial dan unit rumah di beberapa lokasi di seluruh Selangor dengan nilai tawaran antara RM191,114 sehingga RM3.515 juta membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM45.137 juta,” katanya kepada pemberita di lobi DUN di sini, hari ini.

Antara aset tersebut adalah Kondominium Universiti Tower, Petaling Jaya; Kedai Pasar Maden, Rawang dan kediaman jenis semi-D di Taman Yayasan, Kuala Selangor.

“Kami berasa dukacita dan kecewa kerana tiada usaha konkrit dan mampan ditunjukkan oleh Yayasan Selangor untuk menjana pendapatan syarikat sehinggakan mengambil jalan mudah dengan menjual aset sedia ada,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button