Thailand panggil Duta Mesir, tentera gagal patuhi kuarantin

 

BANGKOK, 15 Julai  — Thailand memanggil Duta Mesir,  Laila Ahmed Bahaaeldin, selepas anggota tentera negara itu dilaporkan gagal mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika, Dusit Manapan bertemu Laila Ahmed di kementerian itu semalam.



Dusit memaklumkan mengenai keputusan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) yang menolak permohonan empat penerbangan tentera Mesir pada 17 dan 25 Julai.

Ia berikutan kebimbangan Thailand terhadap kejadian seorang tentera Mesir  meninggalkan hotel, tempat beliau sepatutnya menjalani kuarantin kendiri dan kemudian diuji positif COVID-19.

“Pada masa ini pihak Thailand belum memutuskan bila permintaan Kedutaan Mesir itu boleh dipertimbangkan.

“Beliau (Dusit) juga meminta Kedutaan (Mesir) untuk memastikan semua pegawai di misi itu mematuhi peraturan dan langkah-langkah pencegahan ditetapkan kerajaan untuk mengelak perkara sama berulang,” katanya.



Beliau berkata duta Mesir meminta maaf atas kejadian itu dan mengulangi komitmennya untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

Pada Isnin, CCSA berkata seorang tentera Mesir berusia 45 tahun diuji positif COVID-19 ketika transit di lapangan terbang Rayong U-Tapao dari 8 hingga 11 Julai.

Penerbangan dengan 31 anak kapal itu tiba di Rayong pada 8 Julai dan berangkat ke Chengdu, China keesokan hari dan kembali semula pada hari sama.

Media tempatan melaporkan kumpulan itu keluar dari hotel untuk ke dua pusat beli-belah pada 10 Julai, menyebabkan ratusan penduduk terpaksa menjalani kuarantin di rumah.



Semalam, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha, merangkap ketua CCSA, menyifatkan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan memohon maaf kepada rakyat Thailand.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button