Pasca Moratorium, Bank Diminta Beri Kelonggaran – Puteri UMNO
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan pihak bank perlu memberi kelonggaran 50% moratorium kepada peminjam bagi tempoh enam bulan bermula Oktober ini sebagai jalan tengah antara rakyat dan pihak bank.
Kata Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, moratorium tersebut hendaklah bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40), peminjam rumah dan kereta pertama.
“Ini agar ada “soft landing” bagi peminjam-peminjam supaya mereka dapat menyesuaikan diri bagi menghadapi masa sukar selepas September nanti,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Zahida berkata demikian merujuk kepada bank-bank komersial yang sudah pun menyatakan pendirian yang mereka tidak akan menyambung tempoh moratorium atau juga dikenali sebagai ‘loan holiday’ yang akan berakhir September 2020 ini.
Tegasnya, keadaan itu sudah pastinya akan mengundang pelbagai kesan kepada rakyat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah yang mempunyai pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan.
“Jadi bulan Oktober akan datang pastinya akan menjadi permulaan bulan yang amat mencabar bagi kumpulan rakyat yang disebut, sehinggakan ramai yang menggelar sebagai ‘Red Oktober’ atau ‘Oktober Berdarah’.
“Dalam masa yang sama bagi pihak bank selaku penyedia pinjaman juga perlukan pembayaran balik bagi memastikan ‘cash flow’ kembali normal dan sudah pastinya pihak bank juga adalah pencetus ekonomi apabila mereka dapat memberi pinjaman-pinjaman baru yang secara tidak langsung merangsang semula ekonomi sekarang ini,” katanya.
Dalam satu keadaan pula tambah Zahida, rakyat berada dalam amat tertekan apabila terpaksa menanggung hutang isi rumah walaupun dalam keadaan tiada sumber pendapatan.
“Situasi ini ibarat ‘between rock and hard places’ kerana dua-dua pihak rakyat dan pihak bank sama-sama terkesan akibat penularan COVID-19 yang melanda negara,” katanya.
Walaubagaimanapun ujarnya, rakyat juga harus bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional kerana bertindak pantas dengan agihan bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Subsidi Upah dan banyak lagi pakej-pakej rangsangan yang sudah diumumkan.
“Kami juga berharap lebih banyak bantuan-bantuan terus daripada kerajaan kepada golongan sasar agar nasib mereka yang memerlukan terbela,” katanya. – UMNO ONLINE