Masjid Hagia Sophia di Turki dibuka kembali selepas 86 tahun

 

ISTANBUL, 24 Julai — Masjid Hagia Sophia yang terkenal di Turki akan dibuka semula untuk ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan solat Jumaat,  lapor agensi Anadolu.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.



Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.

Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki akan memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.

Khazanah seni bina itu juga akan dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.



Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.

Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.

Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.

Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.



Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.

Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek akan ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.

Pada Khamis, Presiden Turki melancarkan plat nama baharu Masjid Hagia Sophia.

Sementara itu, persiapan upacara yang akan diadakan sempena pembukaan semula masjid itu untuk ibadah selepas 86 tahun, telahpun selesai.



Majlis pembukaa akan dihadiri tetamu daripada semua lapisan masyarakat.

Masjid Hagia Sophia akan dibuka untuk solat dengan disertai Presiden Erdogan dan pemimpin Parti Gerakan Nasionalis (MHP) Devlet Bahceli. Ia akan dibuka sehingga pagi.

— BERNAMA

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button