Projek Agropolitan Rantau Manis, bantu rakyat miskin tingkat pendapatan


GUA MUSANG, 25 Julai — Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis dekat sini yang diperkenalkan sejak 18 tahun lalu dan menelan belanja RM240 juta, telah membantu rakyat miskin tegar di negeri ini, bagi meningkatkan pendapatan golongan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak projek itu dilaksanakan pada tahun 2009, ia telah memberi manfaat kepada 600 peserta dan ahli keluarga mereka, meningkatkan taraf hidup.

“Kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), membantu peserta meningkatkan pendapatan mereka, yang pada mulanya hanya RM500.

“Pihak ECERDC sudah membenarkan mereka (peserta) untuk keluar bekerja dan mereka bukan terikat di sini sahaja, untuk mencari pendapatan tambahan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pejabat Agropolitan Kelantan Selatan di sini, hari ini.



Mustapa berkata, kebanyakan purata pendapatan peserta meningkat antara RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan. malah terdapat juga jumlah isi rumah keluarga mencapai RM2,300 sebulan.

“Mengikut perancangan ECERDC juga, bermula hujung tahun depan, Agropolitan Rantau Manis akan diserahkan sepenuhnya kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) untuk terus dimajukan,” katanya.

Katanya bermula pada 2022, projek itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), dan akan mencari model terbaik untuk menjamin kelestarian projek tersebut.

“Kita berharap dengan kepakaran Kesedar, dapat membantu meningkatkan pendapatan peserta untuk keluar dari kemiskinan,” katanya.



Di seluruh negeri Kelantan, program pembangunan modal insan ECERDC, telah memberi manfaat kepada lebih daripada 24,458 rakyat setakat ini, di mana keseluruhan peserta di negeri ini adalah terdiri daripada golongan B40.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button