PRN SABAH – MAMPUKAH UMNO SABAH BANGKIT KEMBALI DALAM NORMA POLITIK BARU?



KEBANGKITAN SEMULA UMNO SABAH MENGHADAPI PILIHANRAYA NEGERI

Krisis politik Sabah begitu menarik perhatian pemerhati politik tanahair kerana siapa sangka langkah ‘Berani Mati’ dilakukan Ketua Menteri Sabah. Tekanan yang diberikan oleh Tan Sri Musa Aman begitu kuat hingga Dato Shafie Apdal mengambil risiko membubarkan Dewan Undangan Negeri sebagai langkah akhir menyekat pertukaran kerajaan.

Jika diperhatikan ada kenyataan awal Shafie menyatakan beliau mempunyai sokongan yang cukup kuat bagi mengekalkan kerajaan Warisan di Sabah namun memilih untuk pembubaran apabila Musa Aman mendakwa mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk menukar pemerintahan Sabah. Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut dihalang daripada bertemu Tuan Yang Terutama Sabah semasa mahu melakukan proses pertukaran kerajaan. Pelbagai persoalan timbul tanpa ada jawapan mengapa Shafie berbuat demikian (bubar DUN) dalam suasana yang beliau dakwa Warisan masih kuat.



Percaturan politik Sabah selepas pembubaran DUN ialah kerjasama politik di blok yang menyokong Perikatan Nasional. Gabungan parti politik Sabah masih dalam perbincangan pembahagian 73 kerusi DUN di mana Umno dilihat sebagai parti dominan dalam gabungan kali ini. Perdebatan mengenai pembahagian kerusi dipanaskan dengan beberapa kenyataan yang tidak sepatutnya dilontarkan kerana kerjasama dalam gabungan belum teruji selepas Prk Kimanis. Sebagai rujukan PRK Kimanis telah dimenangi BN (UMNO) selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (WARISAN) dan ketika itu salah satu parti dalam gabungan masih bersama PH. Ibarat ‘Luka sembuh namun parut masih ada’, UMNO dan GBS masih berhati-hati menerima ‘Orang Baru’ dalam gabungan Perikatan Nasional yang baru dikenalkan selepas kejatuhan PH di peringkat Pusat.

SIDANG MEDIA UMNO SABAH

Sikap terbuka UMNO Sabah dan GBS yang sedia menerima PPBM sebagai rakan baru dalam perjalanan politik Sabah patut diberikan pujian. Bagaimana Bung Moktar Radin selaku Pengerusi Perhubungan Umno Sabah bijak menenangkan semua pihak dalam isu berapa kerusi ditandingi membuktikan kematangan politik Sabah. Secara tidak langsung Bung menunjukkan UMNO kini sedia kembali untuk memberikan khidmat kepada Rakyat Sabah bersama gabungan baru dan lebih fokus kepada kepentingan Sabah. Dalam satu sidang media, Bung menyebut Umno dan rakan-rakan akan menawarkan sebuah kerajaan yang lebih dinamik dan lebih baik dari yang sebelumnya. Ini merupakan isyarat terbaik kerjasama parti-parti di Sabah selain menghormati parti komponen yang turut bersama sebelum ini. Dalam menampilkan penawaran baru, Umno tidak berlebihan berjanji kerana enggan melakukan kesilapan sama seperti ditawarkan Pakatan Harapan menerusi Warisan. Gabungan baru juga diharapkan jangan menggunakan modus sama seperti PH dalam penawaran berlebihan bagi mengelakkan kegagalan melaksanakan janji.



Pilihanraya Negeri Sabah juga akan menyaksikan sejauh mana ikatan ‘Setiakawan’ mengukuh. Seperti sedia maklum, politik Sabah amat unik untuk dijadikan perbandingan dengan politik Semenanjung. Di Sabah, penerimaan pengundi lebih terbuka kepada semua parti dan mereka akan memilih parti yang diyakini mampu memberikan khidmat tetapi parti politik juga harus bersedia jika mereka gagal berbuat demikian. Oleh itu semangat ‘Setiakawan’ dalam politik Sabah turut memainkan peranan penting bagi semua parti terutama Umno dan rakan-rakan jika mereka benar-benar mahu menjadi kerajaan. Percaturan terbaik perlu disediakan dan sebarang perebutan untuk jawatan tertinggi dalam kerajaan Sabah perlu dibereskan dalam rundingan tanpa membebankan mana-mana pihak. Tidak salah memberi pandangan tetapi dalam ertikata ‘SETIAKAWAN’, perbalahan atau sikap ‘I am the boss’ tidak harus ada dalam mana mana parti di bawah gabungan baru. Dalam hal ini nampaknya UMNO lebih memilih sikap bertolak ansur dan memberikan kepercayaan kepada rakyat untuk memilih siapa yang lebih layak.

Percaturan baru, norma baru dan muka baru seperti disebut Bung dalam sidang media menjadi tumpuan pengundi Sabah. Semua pihak menanti apakah arus perubahan pentadbiran di Pusat akan direalisasikan pula di Sabah. Kepercayaan perlu diberikan kepada Umno Sabah untuk mengemudi gabungan baru parti politik dalam menghadapi PRN Sabah.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: