Chegu Bard dihadap ke mahkamah sekali lagi

Oleh – Syeikh Baran


Chegu Bard dihadap ke mahkamah sekali lagi
Chegu Bard keluar dari mahkamah selepas membayar wang jaminan RM10,000 setelah selesai pertuduhan menghadapi dua pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru disini. -Foto oleh RAJA JAAFAR ALI /KOSMO!

Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City di Facebook miliknya, Jumaat lalu.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rasidah Roslee.



Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dituduh membuat penerbitan menghasut di akaun Facebook bernama Chegu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Masri Mohd. Daud, Abdul Ghafar Ab. Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar manakala tertuduh diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.

Turut mengikuti prosiding itu ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan terhadap Chegu Bard.



Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan kepada Chegu Bard dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon perintah larangan dikenakan terhadap Chegu Bard agar tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.

“Perintah larangan adalah perlu supaya tertuduh tidak mengeluarkan komen atau sebarang kenyataan umum bagi memastikan ia tidak mengganggu perjalanan kes,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rafique, menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi iaitu empat kali ganda dari jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan tersebut.



“Anak guam juga dituduh semalam atas kesalahan sama di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin, jadi adalah baik jika ia diseragamkan.

“Sementara itu, perintah larangan yang dimohon itu pula tidak khusus dan bersifat injuksi. Sebagai rakyat Malaysia, kita ada kebebasan bersuara secara terbuka mengikut undang-undang dan Perkara 10 perlembagaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu.

Hakim turut menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.



Tarikh 24 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading