UMNO BAKAL BERKUBUR BILA DIJANGKITI BADI PPBM?
LUKA BOLEH SEMBUH, PARUT TETAP KEKAL
Sejak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengumumkan parti itu akan menyertai Muafakat Nasional, pelbagai perdebatan kalangan ahli bawahan Umno berlaku. Tidak hanya berlangsung di media sosial, perbahasan hangat berkaitan topik turut menjadi bahan bualan ‘wajib’ kepada akar umbi Umno.
Pro dan kontra untuk Umno menerima kembali PPBM yang juga merupakan serpihan Umno seakan membengkak dan menunggu masa meletus. Secara kebetulan mesyuarat Cawangan Umno sedang berlangsung dan isu ini diangkat sebagai sebahagian usul oleh akar umbi yang selama ini kekal setia kepada Umno walau sedar selepas Mei 2018, Umno atau BN bukan lagi pemerintah dan bergelar pembangkang. Mulai saat itu ahli Umno mula diuji dengan dugaan dan tidak kurang pemimpin Umno turut menjadi tumpuan serangan bermotifkan politik pihak Pakatan Harapan. Perlu diingatkan waktu itu PPBM adalah sebahagian Pakatan Harapan dan Perdana Menteri pula merupakan Pengerusi PPBM.
Tekanan demi tekanan dikenakan untuk menguburkan Umno dari arus politik negara sehingga satu tahap Umno dilihat seperti ‘Anjing Kurap’. Ibarat ‘Sudah Jatuh Di Timpa Tangga’, ada kalangan Ahli Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket Barisan Nasional mengambil keputusan untuk ‘Berhijrah’ dan meninggalkan Umno kononnya demi survival rakyat kawasan yang diwakili mereka. Betapa hina Umno diperlakukan ketika itu dan akar umbi hanya mampu memandang tanpa boleh bersuara kerana tergamam dengan ‘HALOBA’ pemimpin mereka yang sanggup mengenepikan prinsip kesetiaan kepada parti.
Marhein Umno tidak pernah melupakan semua itu dan mereka membungkam menyimpan segala pahit manis hanya untuk melihat Umno kembali di persada politik negara. Jika suara kecil mereka dipinggirkan ketika ini, maka ketahuilah ketawa pemimpin Umno yang rakus tidak akan kekal lama bila sampai masa mereka menjatuhkan hukuman sewajarnya.
Ibarat ‘orang kelemasan, tahi pun digapai’ krisis PPBM yang semakin kehilangan pengaruh selepas Tun Mahathir dipecat parti membuka mata ramai ahli bawahan Umno. Walau kini ada pemimpin Umno menjawat jawatan Menteri dalam kabinet ‘Perikatan Nasional’ ia hanya persefahaman antara Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan selepas Pakatan Harapan tumbang akhir Februari 2020 apabila Mahathir meletakkan jawatannya. Kini Presiden PPBM dilihat semakin tidak mampu menahan gelombang penghijrahan keluar ahli ahli PPBM yang hilang kepercayaan terhadap kewibawaan beliau sehingga ahli PPBM Pagoh turut mengambil tindakan keluar parti. Isyarat penolakan terhadap PPBM semakin memuncak dan sesuatu perlu dilakukan segera oleh Muhyiddin untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri.
Strategi menghulur jabat salam kepada Umno dan Pas yang bersetuju berkerjasama sebagai entiti dikenali Muafakat Nasional adalah antara jalan terakhir Muhyiddin kekal berkuasa. Bagi akar umbi Umno yang tidak berkepentingan dan tiada jawatan, mereka masih menyimpan sangsi terhadap PPBM berikutan kelakuan mereka sepanjang bersama Pakatan Harapan. Malah ada beberapa kenyataan bernada SOMBONG dikeluarkan pemimpin PPBM apabila menyentuh perihal kerjasama dengan Umno.
Jika melihat komentar serta keluhan Marhein Umno dalam media sosial, mereka mendesak pimpinan Umno terutama Zahid Hamidi untuk menjadi seorang pemimpin yang berprinsip dan kekal dengan prinsip. Bukan menjadi pemimpin yang hari ini mengeluarkan kenyataan lain, esoknya mengeluarkan kenyataan lain yang memeningkan Marhein Umno. Malah ada juga kalangan Marhein Umno mengambil keputusan tidak akan keluar mengundi sekiranya Presiden Umno dan kepimpinan tertinggi Umno mengambil langkah yang salah bila bersama PPBM dalam apa yang disebut Muhyiddin sebagai ‘The Grand Coliation’ atau dialih bahasa sebagai ‘Melayu Raya’.
Jika diperhalusi tindakan dan gelaran ‘Melayu Raya’ hanya akan membuat pengundi kaum lain berasa dipinggirkan dan gabungan Umno, Pas, PPBM merupakan ancaman bernada politik terhadap mereka. Natijahnya pada PRU15 besar kemungkinan gabungan ‘Melayu Raya’ ini tidak akan mendapat sokongan daripada kaum-kaum lain serta hilang sokongan dari Marhein Umno itu sendiri. Kebarangkalian untuk Pakatan Harapan kembali mentadbir Putrajaya semakin besar jika gabungan tersebut direalisasikan. Bagi Anak Muda Bandar, percaturan sebegini hanya akan menyebabkan mereka terpisah daripada maksud sebenar berpolitik dalam erti perpaduan kaum. Anak Muda Luar Bandar akan melihat peredaran semasa di bandar tidak selari dengan mereka dan jurang perbezaan kaum semakin besar. Inikah impian politik yang baik untuk negara?
Protes secara senyap terhadap Umno sudah bermula tanpa disedari pemimpin utama yang hanya berkisar tentang ‘mereka dan jawatan’ sebagai imbalan bersetuju menjadikan gabungan ini platform baru politik Malaysia. Terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin sekiranya mereka masih menghargai Marhein Umno wajarlah mereka menimbangkan sebarang keputusan sebaik-baiknya. Harus diingat akan tiba hari dimana Marhein Umno menjadi SANGAT BERKUASA hingga pemimpin Umno akan MENYEMBAH mereka untuk kekal berkuasa.
Tulisan – Othman Ahmad, Johor Bahru