MIC umum tidak sertai Perikatan Nasional tetapi sokong kerajaan – Setiausaha Agung

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Parti MIC hari ini mengumumkan pendiriannya untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha agungnya Datuk M Asojan Muniandy berkata pendirian itu disampaikan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos.

Beliau berkata MIC mulanya bersetuju menyertai PN dengan tanggapan UMNO dan BN akan turut sama, namun apabila hujung bulan lepas UMNO dikatakan tidak akan menyertai pakatan itu, maka keputusan MIC sebelum ini tidak terpakai.

“Namun seperti UMNO dan BN, MIC juga akan terus menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Bernama.



Sementara itu surat dihantar MIC kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang menjadi tular di media sosial itu antara lain menyebut, keanggotaan pemimpin MIC sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja PN tidak boleh dipakai sehingga satu keputusan baru dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC.

Akhir bulan lepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi, sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Ahmad Zahid berkata sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button