ZURAIDA (PN) AKAN SIASAT ZURAIDA (PH) ISU ‘DIRECT NEGO’ KPKT
ZURAIDA AKAN SIASAT RUNDINGAN TERUS TANPA PENGETAHUAN MENTERI
Iklim politik antara bekas Menteri Pakatan Harapan dan Menteri Perikatan Nasional agak panas apabila pemberian projek secara ‘Runding Terus’ didedahkan Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul dalam satu pendedahan di parlimen menyatakan semasa Pakatan Harapan memerintah sejumlah RM6.61 billion dibelanjakan untuk 101 projek secara ‘Direct Nego’.
Artikel berkaitan – SERANGAN BALAS LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP merangkap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencabar kenyataan Zafrul serta laporan senarai penerima projek ‘Direct Nego’ yang dilampirkan untuk sebaran dalam satu sidang media 11 pagi tadi. Guan Eng turut mempertahankan tindakan Pakatan Harapan dalam pemberian projek Runding Terus kerana menurutnya tidak menjadi kesalahan memandangkan keperluan mendesak ketika itu. Dalam sidang itu juga, beberapa bekas Menteri turut mengkritik Menteri PN yang disifatkan TIDUR semasa mesyuarat kabinet untuk meluluskan pemberian projek yang tersenarai dalam lampiran MoF.
Artikel berkaitan – CABAR DEDAH NAMA PENERIMA PROJEK
Dalam pada itu, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengeluarkan kenyataan media bagi menyiasat 2 projek yang beliau dakwa berlaku tanpa pengetahuannya selaku Menteri bertanggungjawab. Bekas Menteri KPDHNEP, Saifuddin Nasution Ismail turut menyentuh berkenaan projek KPKT bernilai RM170 juta yang dibuat secara runding terus ketika Zuraida berada dalam kabinet Pakatan Harapan.
Berikut adalah kenyataan media YB ZURAIDA KAMARUDDIN
KENYATAAN MEDIA
DUA PROJEK RUNDINGAN TERUS DIBUAT TANPA PENGETAHUAN
1. Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan
projek rundingan terus sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menawarkan projek rundingan terus.
2. Ingin saya tegaskan 2 projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat diluar pengetahuan saya.
3. Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul.
Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
27 Ogos 2020