‘Baru lima minit keluar, kereta saya terbakar’

“SEBELUM kereta terbakar, saya baru lima minit keluar dari kenderaan untuk minum di kedai,” kata warga emas, Mohamed Mat Hussin, 61.

Mohamed berkata, Mercedes C200 terpakai itu baru dibelinya pada harga RM5,000 dua minggu lalu hangus terbakar di hadapan matanya kira-kira pada 10.30 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala, Kota Bharu, 28 Ogos lalu.

Mohamed berkata, sebelum kejadian, dia sedang minum dengan rakan-rakannya di kedai kopi sebelum mendengar bunyi letupan.



“Ketika menoleh ke belakang, saya terkejut apabila melihat kereta yang diparkir beberapa meter dari kedai hangus terbakar, namun saya bersyukur kerana saya tidak berada di dalam kereta,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Zamizi Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.47 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

“Seramai lapan anggota dari BBP Pasir Tumboh bergegas ke lokasi dan apabila sampai, didapati sebuah kereta jenis Mercedes C200 sudah 40 peratus terbakar di bahagian enjin dan tempat duduk pemandu.

“Api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 11.48 pagi,” katanya.



Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button