Rusuhan susulan pemimpin anti-Muslim dilarang masuk Sweden
STOCKHOLM: Sekurang-kurangnya 10 penunjuk perasaan ditahan dan beberapa anggota polis cedera ketika pertempuran di selatan Sweden selepas pemimpin anti-Muslim dari Denmark dilarang menghadiri perhimpunan membakar al-Quran, kata polis pada Sabtu.
Penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis dan membakar tayar di jalanan di Malmo lewat Jumaat dengan keganasan semakin meningkat, menurut polis dan media tempatan.
Demonstrasi membabitkan kira-kira 300 orang itu ada kaitan dengan insiden sebelumnya di mana penunjuk perasaan membakar salinan kitab suci Islam, kata jurucakap polis, Rickard Lundqvist kepada tabloid Sweden Expressen
Antara 10 hingga 20 penunjuk perasaan ditahan lewat Jumaat tetapi semuanya dibebaskan, kata jurucakap polis, Patric Fors kepada AFP.
Beberapa pegawai polis cedera ringan, tambahnya. Keganasan telah reda pada pagi Sabtu.
“Mereka yang bertindak seperti ini tidak ada kaitan dengan Islam,” kata seorang imam, Samir Muric, di Facebook.
“Tidak betul,” kata penduduk Malmo, Shahed kepada penyiar awam SVT.
“Tetapi ia tidak akan terjadi jika mereka tidak membakar al-Quran,” tambahnya.
Rasmus Paludan, pemimpin Hard Line, dijadualkan mengunjungi Malmo untuk berucap pada Jumaat, hari yang sama umat Islam bersolat Jumaat.
Bagaimanapun pihak berkuasa mendahului apabila mengumumkan Paludan dilarang memasuki Sweden selama dua tahun.
Polis kemudiannya menahan Paludan berhampiran Malmo. Berikutan itu Penyokong Paludan terus mengadakan tunjuk perasaan di mana enam ditahan kerana menimbulkan kebencian antara kaum.
Malmo adalah bandar ketiga terbesar di Sweden dan kira-kira 40 peratus daripada 320,000 penduduk di bandar itu berketurunan warga asing. – AFP