Chelsea mampu saingi Liverpool, Manchester City
TONGGAK baharu Chelsea, Timo Werner optimis skuad kendalian Frank Lampard mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdasarkan kemantapan dalam kalangan pemain-pemain The Blues.
Bagaimanapun menurutnya, Chelsea bakal berdepan cabaran sengit dua kelab gergasi iaitu penyandang juara, Liverpool dan Manchester City selain Manchester United serta Arsenal.
“Saya suka cara Lampard bekerja dalam memotivasikan pemain-pemain Chelsea bagi menghadapi saingan musim baharu ini.
“Dia telah membincangkan rancangannya dalam usaha mencipta lebih impak tidak hanya saingan domestik tetapi juga Eropah dan bagaimana kami cara untuk bertempur dengan kelab seperti Liverpool dan Manchester City.
“Saya percaya dengan Lampard yang mempunyai visi selain diperkuatkan beberapa pemain-pemain berkualiti Chelsea boleh mencapai ke satu tahap yang baharu,” katanya.
Sebelum itu, Werner yang berpindah dari RB Leipzig ke Stamford Bridge dalam status kontrak bernilai 53 juta pound mencipta impak apabila cemerlang menyumbat satu gol dalam perlawanan persahabatan pra musim menentang Brighton hujung minggu lalu.
Lampard aktif memperkuat cabaran kelab London itu yang mengakhiri cabaran musim lalu pada kedudukan keempat dengan merekrut pemain seperti Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Thiago Silva selain Werner.
Werner kini bertugas di peringkat antarabangsa dengan Jerman sebelum menghubungkan kembali dengan Chelsea sebelum kempen 2020/21 mereka bermula pada 14 September di Brighton.
Pada masa sama pemain berusia 24 tahun itu mendedahkan bahawa dia sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di England.
“Pangsapuri saya sangat bagus, saya berasa gembira di sini dan juga kota London yang hebat. Bagi saya, London adalah antara bandar terbaik dunia, jadi saya sangat gembira dapat berbakti untuk kelab London.
“Ketika saya pertama kali datang ke England, sukar untuk saya memahami bahasa Inggeris semua orang kerana saya tidak perlu bertutur dalam bahasa ini sejak zaman sekolah.
“Orang bercakap dengan perlahan sehingga saya dapat memahami dan sekarang saya berasa sangat gembira. Saya dapat memahami segalanya dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” katanya.