Paracetamol dan coklat milik Ebit Lew turut dilarikan
Sungai Buloh: Tidak sampai tiga bulan beroperasi, kedai serbaneka milik pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew di Dataran Villa Putra, di sini, Selangor, dipecah masuk penjenayah, awal pagi tadi.
Kejadian itu menyebabkan sebanyak RM3,600 wang tunai serta barangan jualan di premis itu hilang dilarikan penjenayah.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan
kejadian itu daripada penolong pengurus kedai serbaneka berkenaan jam 8 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan dilakukan pengurus kedai serbaneka itu mendapati tingkap di bahagian dalam tandas terbuka dan mereka menemui besi penutup tingkap yang ditanggalkan.
“Antara barang yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu adalah wang tunai berjumlah RM3,600, lima tin susu bayi, 72 coklat, 40 kotak plaster, 24 gula-gula serta panadol dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM4,000,” katanya.
Shafa’aton berkata, siasatan awal mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan dua suspek lelaki memasuki premis berkenaan dengan memakai topi keledar.
“Terdapat lima kesan cap jari berjaya ditimbulkan di lokasi kejadian. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh salurkan kepada kami dengan tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ebit Lew menerusi status dimuat naik di akaun Facebook miliknya semalam, menyuarakan kesedihannya selepas kedai itu dipecah masuk jam 3.30 pagi semalam oleh dua lelaki memakai topi keledar.
“Semoga Allah SWT memberi pelajaran padanya. Pohon doa semua biar semua jadi asbab kebaikan dan hidayah.
“Pasti ada rahmat di sebalik semuanya. Semua daripada Allah kembali padanya. Ya Allah ganjarkanlah atas musibah ini dan gantikanlah dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.