Taufan Maysak ragut satu nyawa

Seoul: Taufan Maysak, taufan kesembilan musim ini, membadai Korea Selatan pada Khamis, meragut satu nyawa selain menyebabkan gangguan perkhidmatan penerbangan serta lalu lintas di seluruh negara, lapor Agensi Berita Yonhap.

Ribut tropika itu bergerak ke timur laut selepas mendarat di Laut Timur pada 6.30 pagi, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Maksimum kelajuan angin ialah 140 kilometer sejam.

Maysak yang membawa angin kencang dan hujan lebat turut menyebabkan 22 penduduk di Gangwon, Jeju, wilayah selatan Gyeongsang dan Busan terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka musnah.



KEADAAN tiang elektrik yang tumbang akibat taufan Maysak. FOTO AFP.

KEADAAN tiang elektrik yang tumbang akibat taufan Maysak. FOTO AFP.

Mangsa maut adalah seorang warga emas yang juga penduduk di bandar pelabuhan tenggara Busan.

Lebih 2,200 penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sebagai langkah berjaga-jaga, kata Pusat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.

Sementara itu, dilaporkan lebih 800 kemudahan, kenderaan dan harta benda lain musnah.



Operasi loji nuklear Shin-Kori 4 digantung sementara akibat gangguan bekalan tenaga namun, tiada kebocoran nuklear dilaporkan.

Sekitar 200,000 isi rumah, kebanyakannya di wilayah pesisir selatan dan timur turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Sebanyak 92 penerbangan domestik ditangguhkan pada 9 pagi, ketika amaran angin kencang dan taufan dikeluarkan, termasuk di Gimpo, Incheon dan Jeju.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button