‘Pernah tiada pelanggan’

Kuala Terengganu: Suatu ketika dahulu, Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) antara lokasi perniagaan yang menjadi pilihan penduduk tempatan mahupun pelancong.

Boleh dikatakan semuanya ada di premis niaga itu, sama ada pakaian, barangan kemas, kraftangan, perkhidmatan menjahit dan gerai makanan dan minuman, sejak pengoperasian pada 1994.

Bagaimanapun, seiring peredaran zaman dan pembangunan pesat bandar raya Terengganu, kompleks itu semakin suram dan bermula 2012, ia menjadi lebih sepi.



Penularan Covid-19 yang menggalakkan penjualan dalam talian dan mengurangkan urus niaga fizikal juga menjadi cabaran kepada kira-kira 400 peniaga di kompleks itu untuk mengekalkan perniagaan mereka hingga ada yang tersepit dan hilang arah.

Hanya pelanggan setia yang menjadi tempat peniaga bergantung harap untuk bisnes terus beroperasi, terutama bagi peniaga yang berusia.

Peniaga pakaian, Mohd Khairil Omar, 43, berkata, keadaan di kompleks berkenaan semakin teruk selepas pembukaan lebih banyak premis perniagaan di sekitar bandar raya, selain perubahan cara pembelian oleh pelanggan.

“Memang kompleks ini menjadi tumpuan pelanggan namun dari hari ke hari, jumlahnya semakin berkurangan bermula 2012 sebelum ia semakin teruk selepas pandemik Covid-19.



“Kadang-kadang nak dapat seorang pelanggan pun susah tetapi kami tiada pilihan dan macam saya sendiri, kalau mahu mengharapkan jualan di sini, memang tak boleh, jadi saya juga terpaksa menjual pakaian secara dalam talian.

“Kita harap sangat pihak berkaitan dapat membantu menaik taraf, mempromosi dan memperkenalkan semula kompleks ini kepada orang luar kerana ketika ini, kami hanya bergantung kepada pelanggan tetap,” katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.

Turut berkongsi rasa sama, Hamid Puteh, 71, yang berharap pihak kerajaan dapat membantu mereka demi kelangsungan hidup.

“Saya membuka perniagaan seawal jam 9.30 pagi hingga 6 petang namun ada masanya tidak menerima seorang pelanggan pun, selepas seharian membuka kedai.



“Sedih memang sedih dan nampak tidak logik, tetapi itu yang berlaku kepada kebanyakan peniaga di sini.

“Kebanyakan kami terpaksa bertahan kerana tidak mempunyai punca pendapatan dan hanya mengharapkan pelanggan tetap sahaja,” katanya yang menjual kain batik dan pelikat.

Sementara itu, Pengerusi Kompleks Hentian Bas MBKT Mansur A Rahman berkata, terdapat kira-kira 400 lot kedai di kawasan berkenaan namun kini, jumlah lot yang masih beroperasi kurang 200 unit.

Katanya, sebahagian peniaga terpaksa menutup premis mereka kerana ketiadaan pelanggan menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa antara RM120 hingga RM240.



“Setakat ini, yang boleh bertahan, kedai makan dan kedai menjahit yang masih menerima tempahan tetapi peniaga yang lain memang susah untuk mendapatkan pelanggan.

“Pada masa sama, kewujudan pelbagai premis perniagaan di sekitar bandar raya ini dan kekurangan promosi menyebabkan pelanggan (pelancong) luar kurang ke sini.

“Sebab itu kami pernah meminta pihak kerajaan membuat papan tanda bagi mewar-warkan aktiviti perniagaan di sini,” katanya.

Mansur berkata, rata-rata peniaga sudah menjalankan aktiviti perniagaan hampir 30 tahun dan berharap mereka tidak dipinggirkan.



“Besar harapan kami jika pihak yang berkaitan dapat membantu menghidupkan kembali aktiviti perniagaan di sini supaya kami boleh meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button