Gangguan bekalan air: Pencemaran masih dikesan di muka sauk

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi berikutan pencemaran masih dikesan di muka sauk loji pada tahap satu ton setakat jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 ton.

Menurutnya, sehingga bekalan air pulih, bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori tangki.



“Pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang sedang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman web kami di www.airselangor.com,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi semalam susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.



Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel Penuh : 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button