DUA MAUT, SEORANG CEDERA DALAM KEMALANGAN

PEKAN: Dua maut manakala seorang cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat, di sini malam tadi.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Muhammad Syauqi Azmi, 32 dari Alor Setar, Kedah dan Ahmad Azhar Abdul Wahab, 58 dari Kampung Gesing, Dong, Raub.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada lengan kanan dan belakang badan dikenali Ahmad Syahiran Mohamad, 26 dari Runchang, dekat sini.



Katanya, kemalangan berlaku membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki kontraktor, Ahmad Azhar dan Muhammad Syauqi yang juga pemandu kenderaan itu, manakala Ahmad Syahiran yang bekerja sebagai penyelia ladang memandu kereta jenis sedan pada 11.30 malam.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila SUV dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuantan manakala Proton Wira dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Runchang.

“Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai kereta yang dipandu Ahmad Syahiran gagal mengawal kenderaan lalu bertembung dengan SUV yang datang dari arah hadapan.

“Selepas perlanggaran itu, SUV berpusing beberapa kali dan terbabas ke kanan jalan laluan menghala ke Segamat.



“Akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang SUV meninggal dunia di tempat kejadian dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button