KETUA MAFIA GIGIT DAN TELAN JARI PENGAWAL PENJARA

ROM: Seorang ketua mafia Sicily yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, menggigit dan menelan jari seorang pengawal penjara dalam satu pertengkaran, lapor media Itali semalam.

Menurut laporan akhbar Il Messagero, Giuseppe Fanara, 60, yang ditempatkan di penjara Rebibbia di sini, menyerang tujuh pengawal pada Jun lalu ketika mereka memeriksa biliknya.

“Ketika pertengkaran itu berlaku, dia (Fanara) menggigit jari di tangan kanan ejen itu. Jari itu kemudian hilang, menyebabkan pendakwa raya Rom menyimpulkan bahawa ia dimakan,” menurut laporan akhbar itu

Banduan itu kemudian menyerang enam pengawal lain menggunakan penyapu sebagai senjata, sambil didakwa menjerit ‘saya kelar leher kamu seperti babi’.

Akhbar itu melaporkan, Fanara kini ditempatkan di penjara sekuriti tinggi Sassari di Sardinia dan berdepan pertuduhan baharu termasuk menyerang dan menentang penahanannya.

Fanara, yang mengetuai kumpulan Cosa Nostra, sudah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun di bawah aturan ketat penjara Itali ’41-bis’, yang kebiasaannya dikenakan terhadap anggota mafia.

Aturan ketat itu mengasingkan ketua gengster bagi mengelakkan mereka menguruskan kumpulan masing-masing dari dalam penjara.

Awal tahun ini, Itali memutuskan untuk membebaskan ketua gengster yang sudah berusia dan lemah, termasuk daripada kumpulan Cosa Nostra yang berpengaruh.

Bagaimanapun, ia mencetuskan bantahan, sekali gus memaksa kementerian undang-undang meneliti semula pembebasan berkenaan. – AFP

Leave a Reply