‘Liew Vui Keong masih tidak sedarkan diri’
Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, kata Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Jaujan Sambakong.
Menurutnya, setakat ini, pelawat belum dibenarkan menziarahi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang juga adalah pengerusi tetap Warisan yang dilaporkan kritikal akibat radang paru-paru.
“Pada awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beliau masih sihat. Namun, di akhir kempen beliau dilaporkan tidak sihat.
“Setakat ini, pelawat belum dibenarkan menziarahi beliau. Semalam, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ingin melawat beliau, tapi belum dibenarkan,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.