Nepal keluarkan semula visa pelancong untuk aktiviti mendaki, merentas hutan

 

KATHMANDU, 30 Sept — Selepas hampir tujuh bulan dihentikan, kerajaan Nepal memutuskan untuk mengeluarkan semula visa pelancong asing, kata Kementerian Kebudayaan Pelancongan dan Penerbangan Awam.

Langkah itu diambil berikutan keputusan kerajaan untuk membuka semula pintu negara kepada pelancong asing mulai 17 Oktober bagi menjalankan aktiviti pendakian dan merentas hutan.



Kerajaan Nepal menangguhkan pengeluaran visa pelancong pada awal Mac untuk mencegah penularan COVID-19.

“Sekarang, warga asing yang mahu datang ke Nepal untuk mendaki gunung dan merentas hutan boleh memohon visa pelancong dari kedutaan kami,” kata  jurucakap kementerian pelancongan Kamal Prasad Bhattarai kepada Xinhua pada Selasa.

“Pelancong dari negara yang tidak mempunyai misi diplomatik Nepal boleh mendapatkan visa ketibaan.”

“Kami akan berkerjasama dengan kementerian pelancongan dan agensi lain yang berkaitan untuk menyediakan visa kepada pelancong asing,” kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Ramesh Kumar KC.



Pelancong asing perlu menyerahkan laporan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dibuat sekurang-kurangnya 72 jam sebelum tiba di Nepal.

Mereka juga perlu menunjukkan dokumen yang mengesahkan tempahan hotel di Nepal untuk tujuan kuarantin selama tujuh hari.  Pada hari kelima kuarantin, pelancong perlu menjalani saringan COVID-19 sekali lagi.

Pendaki perlu mematuhi protokol kesihatan semasa melakukan aktiviti.

Bhattarai berkata kerajaan memutuskan membuka semula sektor pelancongan tertentu berikutan sektor itu terjejas teruk disebabkan COVID-19.



“Kami juga sedang berbincang untuk membuka semula seluruh sektor pelancongan dengan pematuhan terhadap protokol kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

84 ditahan ingkar PKPP termasuk 45 di kelab malam



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button