KERJA HALAL YANG SALAH

Shah Alam: Berkeliaran ke sana ke sini dengan menunggang motosikal dan van tanpa lesen. Malah, ada antaranya dikesan mengubah suai motosikal untuk dijadikan kenderaan mengutip barang kitar semula, menjaja buah serta menjual aiskrim.

Itu antara kegiatan ramai pendatang asing tanpa izin yang dikesan melakukan kesalahan serius.

Susulan itu gerakan Ops Pemandu Warga Asing ( PeWA) dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di lokasi Kampung Paya Jaras serta kawasan di sekitar Sungai Buloh di sini, semalam.



Jurucakap JPJ berkata, tujuan operasi khas itu diadakan bagi membanteras pemandu warga asing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di negara ini.

“Hasil risikan mendapati modus operandi pemandu warga asing adalah memandu kenderaan tanpa lesen sah termasuk menunggang motosikal diubah suai menjadi motosikal beroda tiga.

“Motosikal ini diubah suai untuk mengutip atau membawa barangan lusuh selain menjual pelbagai barangan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, ada juga pemandu warga asing membawa kenderaan perdagangan seperti van dan lori bagi tujuan perniagaan.



“Pemandu warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan perdagangan dan tindakan tegas diambil termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil operasi, 276 kenderaan diperiksa dan 202 notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Sebanyak 18 kenderaan disita dan dibawa ke pejabat JPJ Selangor untuk tindakan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, pemandu warga asing ditahan dalam operasi itu membabitkan 10 warganegara Indonesia, Kemboja (5), Bangladesh (2), Myanmar (2), Pakistan (2) dan India (1).



“Penguatkuasaan secara berterusan dilakukan JPJ bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya selain mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button