Sektor perhotelan bakal ‘sakit’ lagi ekoran gelombang baharu COVID-19

SEREMBAN, 11 Okt — Selepas menarik nafas lega apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas, sektor perhotelan di negara ini kembali berdepan tempoh getir susulan gelombang baharu penularan wabak COVID-19.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan panas COVID-19 serta peringatan agar orang ramai mengelakkan tempat sesak selain peningkatan kes harian wabak dalam tiga angka sejak akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat memilih berada di rumah.

Berdasarkan perkembangan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng menjangkakan berlaku penurunan kadar penginapan sekitar 15 peratus untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, iaitu kerugian antara RM60 juta hingga RM100 juta bagi sektor itu.

Beliau juga berkata kaji selidik yang dijalankan mendapati sektor perhotelan negara ini dijangka mengalami kerugian sekitar RM6.3 bilion tahun ini, merangkumi RM3 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.3 bilion bagi enam bulan kedua.



“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak 18 Mac lepas, kadar penginapan hotel jatuh ke tahap paling rendah iaitu sekitar lima peratus sahaja, bagaimanapun pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula Jun lepas merancakkan kembali sektor perhotelan dengan kadar penginapan mencatat angka tertinggi 42 peratus semasa cuti panjang bersempena Hari Kebangsaan yang lalu,” katanya kepada Bernama.

Yap berkata penularan COVID-19 memaksa industri perhotelan bergantung pada pasaran domestik yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi MAH Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata mereka kehilangan tempahan lebih 50 peratus, merangkumi tempahan bermalam dan penganjuran kursus, seminar dan majlis keraian, susulan peningkatan kes COVID-19 sekarang.

“Selepas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umum boleh rentas negeri Jun lepas, sektor perhotelan kembali rancak dan tempahan mula konsisten, tapi selepas kes COVID-19 semakin meningkat, kita terjejas semula dengan kebanyakan panggilan yang diterima ialah untuk membatalkan atau menangguhkan tempahan,” katanya.



Menurutnya pemulihan sektor itu akan mengambil masa dan beliau menjangkakan industri hanya dapat kembali stabil seawal-awalnya Jun tahun depan, bergantung pada situasi penularan wabak.

Katanya walaupun berdepan kekurangan pelanggan, hotel masih perlu terus beroperasi bagi memastikan penyelenggaraan, keselamatan dan kebersihan premis terjamin.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat peranginan Port Dickson di sini baru-baru ini mendapati kehadiran orang ramai jelas tidak semeriah seperti sebelum ini selain kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung juga lengang.

Mereka yang ditemui Bernama juga menyatakan keberatan untuk melancong pada masa ini.



Antaranya penjawat awam dari Kuala Lumpur, Mohamad Shahriel Hamdan, 42, yang menyatakan dia membuat keputusan untuk tidak membawa keluarga bercuti sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya tidak mahu merisikokan keluarga saya, (kami akan) bercuti nanti bila keadaan sudah reda dan selamat,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun lepas Negeri Sembilan mencatatkan ketibaan pelancong seramai 6.43 juta.

— BERNAMA



KFA tolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi sebagai presiden



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button