Semua program sukan di bawah KBS, agensi, ditangguh hingga 31 Okt – Reezal Merican

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Semua program di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensi di bawahnya yang telah dirancang perlu ditangguh sehingga 31 Okt ini kecuali latihan harian atlet sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata keputusan itu berikutan perkembangan terkini pandemik COVID-19 yang membimbangkan atlet, jurulatih, pegawai sukan, pegawai sokongan, ibu bapa dan juga peminat sukan tanahair secara amnya.

“Ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada perjalanan program latihan atlet-atlet negara. Bagaimanapun, program dan acara sukan luar boleh diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Semua atlet perlu turut mematuhi larangan pergerakan keluar masuk asrama yang terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk gimnasium atau klinik, namun dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali untuk ke lokasi tetap dengan kebenaran jurulatih serta pengurus pasukan.



Beliau berkata arahan-arahan dan langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan adalah bersifat pencegahan dan bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di pusat latihan serta asrama atlet agar program latihan harian dapat diteruskan dalam suasana lebih selamat dan kondusif dengan adaptasi norma baharu.

Reezal Merican berkata semua atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara adalah disarankan untuk terus mematuhi arahan dan nasihat kesihatan terkini yang sering ditekankan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, atlet, jurulatih dan pegawai juga diingatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dengan program berskala besar yang melibatkan orang ramai.

Beliau berkata sementara itu atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) dilarang untuk pulang ke kampung halaman bermula dari 12 hingga 31 Okt ini kecuali bagi urusan kecemasan.



Reezal Merican berkata mereka yang telah melakukan pergerakan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah, Klang atau zon kuning dan merah sejak seminggu lepas dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Okt.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button