TFC puas hati ketiga liga
KUALA TERENGGANU: Impian Terengganu FC (TFC) untuk mengakhiri kempen Liga Super musim ini di tempat ketiga tercapai selepas berjaya menumpaskan Pahang 2-1 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain mengumpul 19 mata di belakang naib juara, Kedah yang mengutip 22 mata selepas menewaskan Perak 3-2.
Pada perlawanan itu Pahang terlebih dahulu mencemaskan kubu tuan rumah menerusi percubaan Mohd Faisal Abdul Halim pada minit kelapan yang pantas dibaca penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
Dua minit berselang giliran tuan rumah menguji gawang pelawat apabila Dominique Da Sylva memperoleh peluang terbuka satu lawan satu dengan penjaga gol, Helmi Eliza Elias, tapi bekas penjaga gol kebangsaan itu bijak menepis bola tolakan Da Sylva.
Pahang yang hanya menurunkan seorang tonggak import dari Filipina, Adam Reed berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi rembatan cantik Nik Muhamad Sharif Mohd Lazim dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol.
Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila skuad Penyu dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasiruddin pada minit ke-15 selepas Da Sylva dijatuhkan penjaga gol.
Da Sylva yang ditugaskan mengambil sepakan itu tidak melepaskan peluang keemasan apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 sekali gus mengumpul jaringan peribadi sembilan jaringan.
Pada minit ke-20, skuad Tok Gajah terpaksa menggunakan khidmat tenaga tempatan sepenuhnya apabila Reed diusung keluar akibat kecederaan, begitu juga dengan Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-38 juga akibat kecederaan.
Biarpun tanpa tonggak import, aksi pemain Tok Gajah tidak mengecewakan apabila kerap kali melakukan percubaan tepat selain berjaya menghalang barisan penyerang skuad Penyu daripada bermaharajalela dalam kawasan penalti.
Usaha berterusan tuan rumah untuk memburu gol kemenangan akhirnya berhasil menerusi kapten, Lee Tuck yang hanya menghulur kaki menyambut hantaran Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.
PKPD Dilaksana Taman Khazanah Indah Dan PPR Mutiara Kasih – Ismail Sabri