Ubah wang haram: 9 termasuk anggota polis dilepas dengan jaminan SPRM

Kesemua individu tahanan reman terlibat siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram dilepas dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

Sumber SPRM berkata ia melibatkan sembilan individu termasuk tujuh anggota dan pegawai polis yang kemudian diserah ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berikutan kes diklasifikasi sebagai jenayah bersindiket.

“Mereka hanya dilepas dengan jaminan SPRM…kesemua mereka diperlukan untuk siasatan lanjut polis. Dalam erti kata lain, mereka masih belum dibebaskan,” kata sumber berkenaan kepada Bernama.

Pada Jumaat lepas, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata pihaknya telah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota yang ditahan.



Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit disyaki menyalahgunakan kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Pada 8 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat ‘dami’ yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.



Sebelum ini, SPRM turut memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram terbabit.

Sementara itu, polis mengesahkan lapan daripada sembilan individu termasuk tujuh anggota polis yang dibebaskan dengan jaminan SPRM petang tadi telah ditahan bagi memberi keterangan berhubung aktiviti perjudian yang wujud di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata seorang lagi yang merupakan orang awam dibebaskan.

“Kesemua mereka ditahan hari ini bagi dirakam percakapan awal untuk siasatan lanjut, tiga daripadanya termasuk suspek utama dijangka direman esok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.



Bernama

Idris Jusoh Buat Laporan Polis Nafi Sokong Anwar



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button