Selangor akan kemuka cadangan kepada MKN berhubung pelaksanaan PKPB

SHAH ALAM, 12 Okt  — Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari di seluruh negeri itu, yang bermula Rabu ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu susulan mesyuarat MKN Negeri Selangor hari ini yang menunjukkan hanya kawasan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai jumlah kes membimbangkan.

Beliau berkata mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi lain itu adalah berhubung pengumuman pelaksanaan PKPB di daerah Petaling susulan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19.



“Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini agak mengejutkan pihak kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri berpandangan beberapa kawasan dalam kategori zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam serta Kuala Selangor adalah masih terkawal. Oleh itu, cadangan balas akan dihantar kepada pihak MKN dengan segera supaya dapat diberi pertimbangan semula,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri sangat menghargai komunikasi lebih berkesan dan konklusif melibatkan semua pihak agar ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat serta pengusaha industri kecil dan sederhana.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button