Firmino penting buat Liverpool

London: Jurgen Klopp mungkin perlu memikirkan semula bagaimana untuk mengaturkan serangan mereka ketika pemain antarabangsa Brazil, Roberto Firmino dikatakan akan meninggalkan Anfield.

Pemain berusia 30 tahun itu berada di tahun terakhirnya bersama The Reds dan bebas meninggalkan Liverpool tanpa bayaran dalam tempoh 12 bulan.

Trio serangan Liverpool yang dibarisi Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane menjadi tumpuan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Salah menamatkan spekulasi dengan menandatangani kontrak baharu yang menyaksikan dia akan terikat dengan kelab itu sehingga 2025, namun ia berbeza dengan Mane.

Penyerang antarabangsa Senegal itu memilih cabaran baharu dengan menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich selepas enam tahun di Merseyside.

Firmino bagaimanapun masih belum membuat keputusan tetapi dengan tiada tawaran kontrak dilaporkan setakat ini, dia mungkin menghampiri penghujung kariernya di Liverpool.

Bekas penyerang Hoffenheim itu berada di dalam senarai tertinggi di Anfield dan mungkin sukar dibayangkan bahawa dia akan dibenarkan meninggalkan kelab itu secara percuma.

Musim lalu Klopp memuji sikap tidak mementingkan diri Firmino dan keupayaannya untuk bertahan di barisan hadapan.

“Dia adalah penghubung, pertahanan serangan terbaik yang pernah saya lihat dalam hidup saya.

“Pemain yang sangat penting bagi kami,” kata bos Reds itu.

“Dia seorang pemain yang rajin, taktikal yang sangat bijak dan boleh bermain di dalam ruang kecil. Seorang pembuat keputusan yang baik dalam masa yang sangat pantas.

“Selain itu dia boleh menjaringkan gol, sebab itulah kami sangat gembira apabila dia memberi ganjaran kepada dirinya sendiri dari masa ke semasa seperti hatrik yang dilakukan ketika di Watford.”

Cara Liverpool membina semula barisan serangan mencetuskan keterujaan besar di kalangan penyokong The Reds tetapi tidak mempunyai acuan pemain seperti Firmino.

Tiada pemain yang boleh digambarkan sebagai ‘pengejar bola’ atau pemain pertahanan yang boleh menyerang.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker