Gunung ais terbesar dunia dibadai ombak

Oleh – Syeikh Baran


Gunung ais terbesar dunia dibadai ombak
A23a berkeluasan hampir 4,000km persegi, lebih dua kali ganda saiz Greater London. – Foto AFP

Mustahil untuk melihat melalui salji dan kabus di laut Antartika, namun ketua ekspedisi, Ian Strachan tahu kapalnya sedang menghampiri raksasa sebenar, gunung ais terbesar dunia yang terletak di satu lokasi berhampirannya.

“Kemudian awan mula hilang dan kami dapat melihat garis putih luas ini, yang memanjang merentasi setiap arah ufuk,” katanya.



Ketika lawatannya pada Ahad, apabila kapal mula menghampirinya, celah-celah besar yang terbuka dan gerbang kebiruan yang indah pada dinding gunung ais itu mula menjadi tumpuan.

Ombak setinggi empat meter kelihatan ‘meruntuhkan’ dindingnya, menghasilkan ketulan kecil ais dan meruntuhkan beberapa strukturnya, kata Strachan.

Gunung ais berbentuk gigi dikenali A23a itu memiliki keluasan hampir 4,000 kilometer persegi (1,550 batu persegi), menjadikannya lebih dua kali ganda dari saiz kota London.

Selepas tiga dekad terperangkap di dasar lautan Antartika, bongkah ais itu kini sedang hanyut menuju ke utara, di antara Pulau Gajah dan pulau Orkney Selatan.

Bongkah ais itu mengandungi anggaran satu trilion tan air tawar yang berkemungkinan akan cair sepanjang ia hanyut di lautan.



Strachan berkongsi cerita itu ketika kapal dinaiki mereka sedang menyelesaikan lawatan peribadi ke Semenanjung Antartika.

Mereka merancang untuk pergi ke pulau Georgia Selatan. Namun, disebabkan wabak selesema burung di sana, lawatan diubah ke A23a.

Ia bukanlah kapal pertama yang menyaksikan kehebatan gunung ais itu.

Kapal RRS UK Sir David Attenborough sedang dalam perjalanan ke Antartika dalam misi saintifiknya bulan lalu, namun perjalanannya dihalang A23a.



Ketua saintis, Andrew Meijers, berkata apabila mereka menghampiri bongkah ais itu, kabus terbelah, matahari terbit dan sekumpulan orca dilihat berenang di sekelilingnya.

“Ia benar-benar ajaib. Kami mengambil masa enam jam untuk melepasinya,” katanya.

A23a pertama kali cair dan pecah di pantai Antartika pada 1986, menjadikannya gunung ais tertua dan terbesar di dunia, bagaimanapun ia kerap tersangkut di dasar laut.

Andrew Fleming dari British Antarctic Survey memberitahu pada 2020 bahawa dia melihat imej satelit yang menunjukkan bongkah ais itu bergoyang.



Kemudian akhir tahun lalu, katanya A23a mula hanyut menuju ke utara.

Sama ada ia disebabkan perubahan iklim atau tidak, musim sejuk di Antartika mencapai paras rekod terendah tahun lalu.

Fleming menekankan, pencairan bongkah ais ini adalah proses semula jadi, sambil menambah satu atau dua bongkah besar akan pecah setiap tahun.

“Kemungkinan besar sudah tiba masanya,” katanya.



Bagaimanapun beliau menekankan keadaan dihadapi bongkah ais itu adalah sebahagian daripada perubahan besar sistem yang berlaku secara mendadak.

“Bongkah ais ini bergerak lebih perlahan daripada langkah ketika berjalan,” kata Fleming.

Sejak hanyut, A23a mengikut laluan hampir sama seperti gunung ais besar sebelumnya, A68 dan A76, dimana ia bergerak melepasi bahagian timur Semenanjung Antartika melalui Laut Weddell.

Fleming berkata, memandangkan gunung ais itu bergerak hanyut ke lautan selatan, perairan lebih panas dan ombak besar akan mula memecah serta mencairkan strukturnya.



“Jika ia mengikut laluan dua gunung ais sebelum ini, bongkah ais ini akan bergerak ke timur laut menuju ke pulau Georgia Selatan, lokasi tumpuan hidupan liar termasuk penguin dan anjing laut.”

Namun, terdapat sedikit kebimbangan, jika gunung ais itu tersangkut berhampiran pulau itu, ia boleh menghalang dan mengancam ekosisten hidupan laut ini untuk mencari makanan.

“Bagaimanapun, ini dijangka tidak berlaku,” katanya.

Meijers pula berkata, A68 sebelum ini berpecah kepada ketulan lebih kecil, mengakibatkan masalah bukan kepada haiwan tetapi manusia. Ia menyukarkan kapal nelayan untuk mengemudi di kawasan itu.

Laluan untuk A23a dijangka bergerak di sekitar pulau dan terus menuju ke utara.Ada sebilangan kecil bongkah ais hanyut dengan jauh termasuk yang pernah dikesan di pantai Brazil.

Bagaimanapun, akhirnya A23a akan menemui nasib sama dengan semua gunung ais lain yang mengembara ke utara, akan mencair di perairan lebih panas.”

Akhirnya, mereka akan hilang,” kata Fleming – AFP

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading