Pasukan SAR pernah lalu lokasi mayat Nora Anne dijumpai – saksi

SEREMBAN, 20 Okt  — Mahkamah Koroner diberitahu bahawa pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaporkan hilang sehari selepas tiba di Malaysia bersama keluarga, pernah melalui kawasan remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu ditemukan mati.

Saksi ke-22 prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja itu, Inspektor Hor Ming Jai, 30, dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor berkata pasukan yang memasuki dua zon pencarian yang ditandakan sebagai ‘zon lima dan zon enam’ pada 7 dan 8 Ogos tahun lepas tidak menemukan sebarang petunjuk positif keberadaan gadis itu.

Mayat Nora Anne ditemukan di kawasan yang ditandakan sebagai zon enam pada 13 Ogos 2019.



“Pada 7 dan 8 Ogos, kami merupakan pasukan pertama yang memasuki zon berkenaan dan tiada apa-apa kesan diperoleh pada tarikh tersebut,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid di sini hari ini.

Koroner : Adakah mudah untuk seseorang berjalan kaki tanpa sepatu di kawasan itu?

Hor: Sukar… tidak mudah.

Semasa menjelaskan keadaan sekitar zon itu, Hor berkata terdapat denai kecil yang boleh dilalui dengan berjalan kaki meskipun curam di sebelah kiri tetapi sesetengah kawasan bersemak yang tidak dapat dimasuki namun pasukan tetap membuat pemerhatian.



Menjawab soalan S. Sakthyvell, peguam keluarga Nora Anne mengenai sama ada terdapat sebarang kesan tapak kaki dijumpai di kawasan berhampiran anak sungai, lokasi mayat remaja berkenaan ditemukan, Hor berkata berdasarkan pencarian dan penelitian yang dilakukan pada 7 Ogos, tiada sebarang kesan ditemui.

“Kawasan agak semak dan kalau ada benda lalu, semak itu akan pecah… bila semak tak pecah dan kita tak masuk, itu teknik,” katanya dan menambah pencarian pada 8 Ogos tertumpu kepada kawasan anak sungai, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

“Biasanya orang hilang akan mencari air, tetapi tiada kesan,” katanya.

Inkues berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad  Sazali Omar  yang bertindak sebagai pegawai pengendali.



Terdahulu, tiga saksi iaitu DSP Hamzah Abd Rani, 49, dari Komando 69 (VAT 69) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) (saksi ke-20), Inspektor Khairul Marwan Kahar, 29, dan Inspektor B. Sathia Balan, kedua-dua dari PGA Batalion ke-3, Semenyih (saksi ke-21 dan 23) dipanggil untuk memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.



Prosiding inkues bersambung petang ini.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – KENYATAAN PIHAK SPRM TIDAK LAKU?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button