Polis Langkawi gagalkan cubaan seludup masuk dadah, ubat batuk

LANGKAWI, 20 Okt — Sebuah beg hitam yang ditinggalkan di sebuah tangga di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini, tengah hari semalam membongkar penemuan dadah disyaki jenis heroin dan syabu bernilai RM128,800.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata terdahulu, anggota yang membuat rondaan serta pemeriksaan ke atas semua penumpang yang baru tiba di terminal feri itu telah menahan seorang lelaki berumur 30 tahun, sebelum dia membawa ke lokasi beg itu ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan anggota polis di dalam beg itu telah menemukan plastik pertama mengandungi lima bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 2.27 kilogram. Di dalam plastik kedua pula telah dijumpai empat bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat 200 gram, kedua-dua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM128,800.



“Suspek yang ditahan mengaku terlibat menghantar dadah ke Langkawi sejak awal tahun ini. Dadah tersebut akan dibawa masuk dari Jeti Kuala Perlis ke Terminal Feri Penumpang Kuah dan akan ditinggalkan di sekitar kawasan terminal feri sebelum dia kembali semula ke Kuala Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Langkawi, di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata rampasan itu juga hasil maklumat selepas berjaya menahan seorang lelaki berumur 34 tahun bersama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM19,300 di Kampung Sungai Kedak, Mukim Padang Matsirat, Ahad lepas.

“Suspek yang ditahan di Terminal Feri Penumpang Kuah didapati negatif saringan air kencing dan tidak memilki rekod jenayah lampau. Namun, seorang lagi suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine serta memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.



“Kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek pertama ditahan reman selama seminggu bermula semalam hingga Ahad depan (25 Okt), manakala suspek kedua direman bermula hari ini hingga Isnin depan (26 Okt),” katanya.

Sementara itu, Mohd Iqbal berkata polis juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 250 botol ubat batuk bernilai RM1,500 di Terminal Feri Penumpang Kuah, petang semalam.

“Terdahulu, polis telah menahan seorang lelaki berumur 48 tahun bersama ubat batuk tersebut pada 6.50 petang. Suspek memaklumkan bekalan ubat batuk diperoleh dari Kampung Kuala Sanglang dan dibawa masuk ke Langkawi sebelum dicampurkan dengan air ketum.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat (23 Okt) untuk membantu siasatan,” katanya.



Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes kematian tiga sekeluarga dalam kebakaran di sebuah rumah berhampiran Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, April tahun lepas.

“Mereka terdiri daripada Ahmad Shahrul Nizam Long, 35, atau ‘Mapley’ beralamat terakhir di rumah tidak bernombor, Kampung Bukit Tangga, Mukim Padang Matsirat, Langkawi. Dua lagi ialah Zuhaimi Saad, 41, atau ‘Bagok’ yang beralamat di No. 240, Kampung Kelibang, Mukim Kuah, Langkawi; Nordin Ahmad, 42, atau Din Napoh yang beralamat di No. 20, Kampung Baru Ulu Melaka, Mukim Ulu Melaka, Langkawi,” katanya.

Mohd Iqbal berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu dicari diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau hubungi terus pegawai penyiasat ASP Mohd Nizam Hassan dengan menelefon 04-9666266 sambungan 2820.

— BERNAMA



KERTAS PUTIH FELDA – KENYATAAN PIHAK SPRM TIDAK LAKU?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button