Super KIP tinggalkan Petronas SRT
KUALA LUMPUR, 20 Okt — Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi akan meninggalkan pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT) pada akhir musim ini, menamatkan kerjasama selama dua tahun dengan pasukan berkenaan.
Pelumba dari Perak berusia 22 tahun yang lebih dikenali sebagai Super KIP itu, dilihat ‘bergelut’ dengan kecederaan tangan yang dialaminya dan tidak dapat memberikan prestasi membanggakan sejak menyertai Petronas SRT sebagai pelumba Moto2 tahun lepas, sebelum diturunkan ke kelas Moto3, musim ini.
Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata, keputusan telah dibuat bahawa satu haluan berbeza untuk kedua-dua pihak adalah satu keperluan buat masa ini.
“Walaupun menyedari bakat dan potensi KIP, ia jelas bahawa setelah dua tahun, kami tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bersama.
“Terbukti, kecederaan telah menjadi faktor dalam prestasi KIP selama dua musim terakhir, tetapi melihat kepada masa depan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing. Kami mendoakan KIP yang terbaik dalam kerjaya masa depannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Khairul Idham berkata beliau menghargai tempoh dua tahunnya dengan menyarungkan jersi Malaysia walaupun ditimpa kecederaan dan cabaran.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dalam pasukan, kru dan rakan kongsi kerana telah membantu saya selama dua tahun, ketika susah dan senang. Saya mendoakan kejayaan pasukan pada masa akan datang, kerana mereka adalah orang-orang yang baik.
“Sudah tentu, saya mahu terus berlumba, jadi saya akan berusaha mencari pilihan terbaik dalam kerjaya perlumbaan saya. Saya akan berusaha yang terbaik untuk menunjukkan kemampuan saya lagi dan memberi penghargaan kepada semua peminat yang telah menyokong saya sejak dari awal. Terima kasih semua!” katanya.
Khairul Idham melakar sejarah pada 2016 bersama Honda Team Asia apabila meraih dua kemenangan menakjubkan di atas trek basah dalam saingan Grand Prix (GP) Agrentina dan Jerman, ketika berusia 18 tahun, membolehkan beliau dinaikkan ke kelas Moto2 pada 2017.
Bagaimanapun, Khairul Idham menghadapi musim yang sukar pada 2019 ekoran kecederaan tangan sejak perlumbaan keempat di latihan bebas GP Sepanyol, dan lebih memburukkan keadaan, beliau sekali lagi mengalami kecederaan di GP Republik Czech yang memaksanya menjalani pembedahan memotong sebahagian jari kelingking kanannya.
— BERNAMA