Thailand gantung operasi sebuah stesen TV dalam talian

BANGKOK, 20 Okt — Mahkamah Jenayah Thailand hari ini menggantung perkhidmatan stesen TV dalam talian susulan liputannya berhubung protes anti kerajaan.

Timbalan setiausaha tetap Kementerian Masyarakat dan Ekonomi Digital Puchapong Nodtaisong berkata platform dalam talian Voice TV itu telah melanggar Akta Jenayah Komputer dengan menyebarkan maklumat palsu.

“Ia juga menyalahi undang-undang darurat. Mahkamah telah memerintahkan supaya semua platform Voice TV ditutup. Namun, mahkamah belum membuat keputusan mengenai tiga lagi media yang berkaitan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.



Voice TV yang sebahagiannya dimiliki oleh bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dan adiknya Yingluck adalah antara empat media dan laman Facebook kumpulan penunjuk perasaan, Free Youth, yang disiasat berhubung liputan mereka minggu lepas.

Khamis lepas Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan ‘Situasi Darurat Yang Serius di Bangkok’ yang melarang perhimpunan lima orang atau lebih, berkuat kuasa dari pukul 4.00 pagi (waktu tempatan), dalam usaha untuk menamatkan protes jalanan anjuran kumpulan pelajar yang sudah berlarutan sejak tiga bulan.

Beliau turut melarang penerbitan berita dan mesej dalam talian lain yang dilihatnya boleh mempengaruhi keselamatan negara dan menimbulkan ketakutan atau menyebarkan maklumat palsu.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Voice TV, Mekin Petplai berkata pihaknya masih belum menerima sebarang perintah mahkamah mengenai perkara berkenaan.



“Voice TV menjunjung prinsip kewartawanan dan tidak pernah memutar belit fakta atau konteks. Kami akan meneruskan kerja dan berdiri teguh dengan demokrasi serta menerapkan yang laporan terbuka dan telus,” katanya.

Sementara itu, kabinet Thailand hari ini bersetuju untuk mengadakan sesi parlimen khas bagi membincangkan gerakan anti kerajaan yang sedang berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Thailand Anucha Nakasai berkata parlimen akan bersidang selama dua hari pada 26 Okt ini.

Permohonan itu diterima daripada Speaker Dewan Chuan Leekpai, dengan mendapat sokongan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.



Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha memerintahkan polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menimbangkan semula perintah yang mengehadkan penerbitan media, dan sedar dengan hak serta kebebasan media, sehari selepas polis mengarahkan siasatan terhadap empat syarikat media serta satu laman Facebook kumpulan penunjuk perasaan yang melanggar perintah darurat.

“Ada beberapa (media) menerbitkan maklumat palsu serta memutarbelitkan fakta dan menghasut orang ramai. Oleh itu, saya mahu pihak berkuasa mematuhi prinsip undang-undang ketika meneruskan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu penganjur hari ini kelihatan berehat, selepas lima hari menganjurkan tunjuk perasaan di Bangkok, namun ada juga sebilangan penunjuk perasaan yang dilihat berhimpun di beberapa tempat, termasuk di stesen BTS dan MRT di Bangkok.

— BERNAMA



KERTAS PUTIH FELDA – KENYATAAN PIHAK SPRM TIDAK LAKU?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button