Camilo Da Silva Sanvezzo, Daniel Amier bakal sarung jersi JDT

ISKANDAR PUTERI, 21 Okt — Pemain Liga Mexico daripada Brazil, Camilo Da Silva Sanvezzo akan menggantikan Diogo Luís Santo, menyarung jersi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

Pemilik Kelab Bola sepak JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah Da Silva Sanvezzo akan menggantikan pemain Brazil itu yang akan meninggalkan JDT dan kembali semula ke Thailand selepas tamat kempen Piala Malaysia.

Baginda bertitah kelabnya telah lama mengintai pemain Brazil berusia 32 tahun itu yang merupakan pemain kelab Tijuana, Mexico sebelum ini.

“Kami sudah lama mahu bawa Camilo Da Silva ke JDT kerana cara permainan dia sesuai dengan JDT, tapi oleh kerana bajet kurang, saya kena tunggu lagi satu atau dua tahun dan bersabar.

“Alhamdulillah, kini (kami) hanya tunggu kontrak (Da Silva Sanvezzo) selesai dan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, kelab saya akan dapat menandatangani (sign) pemain tersebut,” titah baginda pada sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut bakal menyertai JDT adalah pemain tengah kelab Felda United FC Muhammad Daniel Amier Norhisham, tambah Tunku Mahkota Johor.

“(Selain daripada) Camilo akan datang untuk menggantikan Diogo, pada 1 Disember ini, Daniel Amir (juga) akan menjadi pemain JDT secara rasmi. Dia bintang negara yang amat berpotensi besar dan akan dapat banyak pendedahan (ketika) di JDT serta berpeluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun depan,” titah baginda.

Tambah Tunku Ismail, JDT juga akan menghantar pasukan yang seimbang untuk penyertaan dalam saingan Piala Malaysia dan ACL musim depan.

Baginda bertitah, disebabkan dua pertandingan besar itu sering tertangguh dan memberi kesan kepada persiapan pemain, keputusannya untuk menghantar pasukan seimbang itu dianggap tepat.

Selain itu, Tunku Ismail bertitah Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora juga akan mengambil tugas sebagai pengurus kelab itu menggantikan Luciano Figueroa yang telah tamat perkhidmatannya.

— BERNAMA

Leave a Reply