Triatlet negara berpotensi sumbang pingat di Sukan SEA 2021
KUALA LUMPUR, 22 Okt — Triathlon Malaysia yakin atlet negara mampu bersaing dan menyumbang pingat di Sukan SEA 2021, jika tuan rumah Vietnam menyenaraikan acara itu di temasya dwitahunan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Atlet Berprestasi Tinggi persatuan Ungku Azhar Ungku Mohd Maznan berkata kesemua atlet kini giat menjalani latihan walaupun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, latihan diteruskan bagi memastikan atlet kekal cergas, meskipun tiada sebarang sasaran kejohanan yang memberi tekanan kepada triatlet negara.
“Kami mempunyai ramai triatlet yang boleh wakil negara, dan sekurang-kurangnya dua berpotensi meraih pingat. Para triatlet juga tidak sabar untuk menyertai kejohanan.
“Sebaik keadaan mengizinkan, kami akan anjurkan kejohanan ujian seperti yang dirancang, selain mengadakan latihan pusat dalam suku pertama tahun 2021,” katanya kepada Bernama.
Untuk rekod Malaysia pernah meraih pingat emas acara triathlon menerusi Kimberly Yap dalam kategori wanita pada edisi 2005 (Filipina) dan 2007 (Korat) serta Irene Chong pada edisi 2017 (Kuala Lumpur), manakala pingat perak pula dimenangi Rikiguro Shinozuka dalam kategori lelaki di Singapura (2015).
Sukan SEA 2021 dijadual berlangsung pada 21 Nov hingga 2 Dis tahun depan.
— BERNAMA