Kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
KUALA LUMPUR, 25 Okt — Berikut ialah kenyataan penuh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini:
Menyambut undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Raja-Raja telah mengadakan perjumpaan bersama baginda pada hari Ahad, 8 Rabiul Awal 1442, bersamaan 25 Oktober 2020, bertempat di Istana Negara Kuala Lumpur. Perjumpaan dihadiri oleh:
1. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
2. DYMM Sultan Terengganu
3. DYMM Raja Perlis
4. DYMM Sultan Selangor
5. DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
6. DYMM Sultan Johor
7. DYMM Sultan Perak
8. DYMM Sultan Kedah
9. DYMM Pemangku Raja Pahang.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Raja-raja akan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 23 Oktober 2020, memohon perkenan baginda untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Malaysia.
Berpandukan prinsip raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, di samping memahami keseriusan implikasi daripada permohonan tersebut terhadap imej negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan para pelabur dari luar dan dalam negara, serta aspek kemakmuran negara dan kehidupan rakyat jelata, baginda dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara tersebut dibincangkan secara bersama dengan Raja-raja Pemerintah.
Raja-raja Pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting. Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.
Dalam perjumpaan tersebut Raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu baginda membuat ketetapan. Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa. Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang, dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata.
— BERNAMA
FOTO BAYI DIBUANG KERANA FAKTOR EKONOMI MERUNTUN HATI