Menteri hadir ke kediaman Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 25 Okt — Beberapa ahli kabinet dilihat hadir di kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini malam ini.
Kenderaan yang membawa mereka dilihat memasuki perkarangan kediaman perdana menteri bermula 8 malam tadi dan keluar kira-kira tiga jam kemudian.
Mereka termasuk tiga Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Dr Radzi Jidin (Pendidikan) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Turut kelihatan ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Selain itu, tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-Tugas Khas), Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) serta Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama) turut kelihatan hadir.
Petugas media yang menunggu di hadapan kediaman Muhyiddin bagaimanapun tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan.
Kesemua menteri terbabit juga tidak membuat kenyataan kepada petugas media ketika keluar meninggalkan kediaman itu.
— BERNAMA