Bomoh palsu guna sihir tipu wanita, curi barang kemas
PADANG TERAP: Seorang bomoh palsu dipercayai menggunakan ilmu sihir bagi menipu beberapa mangsa terutamanya dalam kalangan wanita yang mempunyai banyak barang kemas di Padang Sanai, Kuala Nerang di sini.
Beberapa mangsa mendakwa bomoh terbabit yang dikenali Pak Su akan mendekati wanita yang memakai banyak barang kemas pada majlis-majlis kenduri dan perjumpaan ahli keluarga untuk menjadi mangsa penipuannya.
Seorang mangsa yang mahu dikenali Halimah, 35, berkata, dia mengenali bomoh terbabit yang dikenali Pak Su ketika diperkenalkan oleh saudaranya sendiri untuk merawat masalah kesihatan yang dihidapinya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Disember 2019 lalu hinggalah pada awal Oktober 2020 lalu selepas dia mula merasa curiga dengan aktiviti bomoh itu.
“Semasa proses rawatan, bomoh terbabit meminta dia menunjukkan dan menyerahkan barang kemas yang dimilikinya.
“Bimbang dengan keadaan saya yang semakin sakit, saya terpaksa menyerahkan barang kemas seperti rantai leher, gelang tangan dan beberapa bentuk cincin kepada bomoh itu sebelum barangan kemas itu dibalut dalam kain putih dan digantung di dalam bilik,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, Halimah menambah, dia mula merasa curiga dengan aktiviti bomoh itu pada awal Oktober lalu.
“Saya kemudian membuka balutan kain putih itu dan mendapati barangan kemas yang ada cuma barang kemas palsu,” katanya.
Jelasnya, dia yang mengalami kerugian sebanyak RM15,000 kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang kerani yang percaya bumbung rumahnya ditimpa makhluk halus terpaksa berputih mata apabila barang kemas bernilai RM45,000 licin dikebas bomoh palsu.
Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Aishah, 65, pula berkata, bomoh tersebut meminta dia menyerahkan kemas miliknya untuk memulihkan kesihatannya pada Julai lalu.
“Demi memulihkan kembali kesihatan saya terpaksa mengeluarkan semua barang kemas yang disimpan untuk ditunjukkan kepada bomoh itu dan dibungkus dengan kain putih dan kemudiannya digantung di dalam bilik.
“Sehinggalah pada September lalu, saya membukanya bungkusan kain putih itu dan mendapati barang kemas saya yang bernilai RM13,000 hilang,” katanya.-UTUSAN ONLINE