Nilai 3 sepi
SEREMBAN: Walaupun kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini tidak termasuk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Zon Nilai namun kesannya tetap terasa apabila ia lenggang tanpa kehadiran pelanggan.
Tinjauan Mingguan Malaysia semalam mendapati, keadaan di kawasan Nilai 3 tidak lagi sesak berbanding semasa cuti hujung minggu sebelum ini.
Bagi peniaga pakaian, Mohd. Firdaus Askalini, 31, mengakui berlaku kekurangan mendadak pelanggan di Nilai 3, malah ia telah berlaku sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Katanya, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, pelanggan dilihat mula kembali namun apabila PKPB pula dilaksanakan di Lembah Klang dan Nilai pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia memberi kesan kepada peniaga.
“Ada orang yang salah faham, kawasan Nilai 3 sebenarnya tidak termasuk dalam kawasan yang dikenakan PKPB atau PKPD. Disebabkan itu, ramai yang bimbang dan mengakibatkan kadang kala hanya ada satu atau dua pelanggan sahaja yang singgah.
“Sekarang kami fokuskan jualan secara dalam talian kerana tiada pelanggan yang datang ke kedai. Pernah juga satu hari tiada langsung pelanggan yang membeli pakaian,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Firdaus menjelaskan, kebanyakan pengunjung di Nilai 3 termasuk pelanggan kami adalah dari kawasan Lembah Klang dan kini tiada pelanggan yang datang.
“Pakaian yang kami jual juga sudah turunkan kepada harga yang lebih murah berbanding sebelum ini. Ada yang mengatakan terlalu banyak sekatan jalan raya jadi mereka memilih untuk tidak datang ke Nilai 3,” katanya.
Sementara itu, peniaga langsir, Nurul Sakinah Md. Z Duallkepele, 29, berkata, dia yang mempunyai empat cawangan kedai langsir di kawasan perniagaan Nilai 3 turut menerima impak akibat PKPB.
“Sejak PKPB Lembah Klang kami menerima pelanggan yang semakin kurang dan kami terpaksa mengurangkan pekerja pada hari cuti seperti hari ini untuk mengurangkan kos.
“Jika dahulu sehari boleh untung RM10,000 namun sekarang ada hari yang tiada untung langsung. Kemungkinan besar, saya akan menutup dahulu kedai pada minggu depan sehingga PKPB selesai untuk mengurangkan kos membayar gaji pekerja,” katanya.
Nurul Sakinah menjelaskan, dia juga akan berbincang dengan penyewa kedai untuk mengurangkan harga sewa bulanan memandangkan tiada jualan yang diperolehnya seperti sebelum ini.
“Jika dahulu ada juga pelanggan dari Pantai Timur yang datang menempah langsir untuk perkahwinan dan dekorasi rumah namun kini tiada lagi.
“Kami juga aktif mempromosikan tempahan langsir melalui dalam talian kerana khuatir tiada pelanggan yang datang ke kedai,” katanya. -UTUSAN ONLINE
KAF JAWAP ISU ‘SEDEKAH PAKSA’ YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL