Agensi keselamatan perhebat penempatan aset halang kemasukan pendatang di perairan Sabah

SANDAKAN, 6 Nov — Pendatang tanpa izin yang memasuki perairan Malaysia melalui Sandakan sekarang mungkin terpaksa berfikir dua kali memandangkan agensi keselamatan di sini telah memperhebatkan penempatan aset di bawah operasi yang dinamakan ‘Operasi Cegah PATI’ (OCP).

Ketua Staf (Operasi Laut) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Laksamana (M) Hamid Mohd Amin memuji komitmen yang ditunjukkan agensi keselamatan yang berpangkalan di Sandakan dalam menjalankan operasi bertujuan membendung penularan pandemik COVID-19.

“Setiap agensi keselamatan utama telah menambah satu atau dua aset untuk meronda perairan 24 jam sehari sehingga pandemik COVID-19 tidak lagi menjadi ancaman kepada negara ini.



“Ia adalah cabaran bagi sembilan pegawai dan 86 anggota kami di Sandakan untuk mengawal perairan negara di tengah-tengah pandemik global tetapi anggota ini telah membuktikan keberanian dan kesungguhan mereka menyempurnakan tugasan itu, sehingga menyaksikan penurunan iaitu hanya sebilangan kecil sahaja percubaan yang dibuat oleh pendatang haram ini untuk menyeberangi sempadan kita,” katanya ketika ditemui semasa operasi di laut di sini.

Menurut Hamid hanya tujuh percubaan untuk memasuki perairan Malaysia melibatkan 134 pendatang tanpa izin sejak operasi itu dilancarkan pada 12 Jun di Sandakan atau dikenali sebagai perbatasan utara Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Untuk mengelak bersentuhan dengan penumpang yang berkemungkinan pembawa virus COVID-19, semua penumpang bot pendatang haram diarah berpatah balik ke negara mereka, katanya.

Menurut Hamid, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan yang menyelaraskan operasi perbatasan utara telah mengerahkan empat bot dan satu kapal manakala Pasukan Polis Marin (PPM) memiliki empat bot dan dua kapal.



Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini baru-baru ini telah menambah dua bot tempur CB90 selain sebuah kapal perang dan kapal auksiliari Tun Azizan, yang dilengkapi radar dan berkedudukan hampir sempadan Malaysia-Filipina iaitu kira-kira 18 batu nautika dari daratan Sabah, katanya.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Angkatan Tugasan Bersama (ATB) 2 dengan dua bot Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) dan satu sistem radar, manakala dron juga digunakan untuk mengumpul maklumat lanjut mengenai cubaan rentas sempadan.

Sementara itu, Ketua Staf ESSCom (operasi darat) SAC M Chandra berkata sembilan hotspot di tanah besar dan satu di sebuah pulau dikenal pasti sebagai tempat pendaratan bagi kegiatan haram dan penyeludupan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button