Mohd Razman mahu lakar sejarah bersama Melaka United
MELAKA, 7 Nov — Pemain pertahanan Melaka United, Mohd Razman Roslan berazam untuk melakar sejarah bersama rakan sepasukan dalam saingan Piala Malaysia dan mara lebih jauh dalam pertandingan berprestij itu.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata beliau menyedari kekuatan lawan mereka, Selangor yang dianggap pasukan tradisi dalam sejarah penganjurannya, dalam sepak mula sulung antara kedua-dua pasukan pada perlawanan di Stadium Hang Jebat di sini, malam esok.
“Bagi saya sudah tentu kita mahu mara sampai ke perlawanan akhir sebab Melaka belum pernah mengecapinya dan walaupun ia bukan mudah, kita akan cuba yang terbaik dan ikut segala perancangan jurulatih.
“Bermain di Stadium Hang Jebat juga adalah kelebihan walaupun status kita sebagai pelawat tetapi apa yang penting adalah persefahaman antara satu sama lain dan kami perlu elakkan kesilapan mudah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Mohd Razman yang juga pernah mewakili Selangor dari 2016 hingga 2018 turut menganggap skuad Gergasi Merah Kuning itu sebagai pasukan yang memiliki barisan pemain berkualiti namun baginya ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Melaka United ada misi dan visi untuk melangkah lebih jauh.
Sementara itu, harapan sama turut disuarakan rakan sepasukan Annas Rahmat yang optimis untuk membantu skuad Sang Kancil mencipta kemenangan pertama dalam perlawanan malam esok.
Laluan Melaka United dilihat berliku dengan kehadiran kelab yang gah tetapi setiap pasukan mempunyai peluang yang sama dalam perlawanan diadakan secara kalah mati itu.
Sementara itu, pengendali Melaka United Zainal Abidin Hasan berkata walaupun tugas berat menanti anak-anak buahnya berikutan kehadiran pemain tonggak Selangor seperti Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan namun beliau percaya pemainnya mampu memberi aksi terbaik mengekang pemain lawan.
Jurulatih berusia 59 tahun itu turut bersyukur pasukannya berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan penting itu tanpa ada sebarang kecederaan serius dalam kalangan pemain selain mereka juga menunjukkan prestasi terbaik sepanjang latihan.
“Selangor adalah pasukan yang sinonim dengan Piala Malaysia namun masa dua hingga tiga minggu selepas aksi terakhir Liga Super, kita mengunakan sebaik mungkin masa berkenaan untuk membuat persediaan demi perlawanan yang penting malam esok.
“Saya telah ingatkan kepada mereka, ini adalah pertandingan kalah mati, jadi jika kalah kita akan tamatkan musim ini, tapi jika menang kita ingin teruskan hingga tamat Piala Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Melaka United dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara itu sekadar mara ke perlawanan suku akhir pada 2017 dan 2019.