7,900 penuntut UniSZA terima data internet percuma

KUALAA NERUS: Seramai 7,900 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam kalangan B40 menerima Bantuan Pelan Data Internet Percuma selama empat bulan bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Dr Hafizan Juahi, berkata sebanyak RM898,000 diperuntukkan sebagai usaha meringankan beban penuntut menanggung kos bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara dalam talian.

“Ia susulan penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri, Dr Noraini Ahmad pada 2 Oktober lalu.



“Langkah itu diambil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 berikutan kenaikan kes positif wabak itu,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Pelan Data Penuntut B40 UniSZA di sini, hari ini.

Bantuan membabitkan dua fasa, iaitu fasa pertama diagihkan kepada 3,900 penuntut lama dan baharu di kalangan B40 membabitkan kos RM468,000 menggunakan peruntukan UniSZA.

“Penuntut akan menerima simkad Celcom E-Learning dan UniSZA akan membiayai pelan itu selama empat bulan bermula hari ini.

“Fasa kedua, UniSZA bersetuju beri bantuan pembelian data internet dalam bentuk tunai, iaitu RM120 seorang babitkan kos RM430,000 menggunakan peruntukan wang zakat Tabung Haji.



“Agihan fasa kedua dijangka dijalankan pada awal Januari depan,” katanya.

Pelan pascabayar Celcom e-Learning 30 yang diterima penuntut ditawarkan dengan 3G dan 4G/LTE kelajuan internet, akses tanpa had ke laman web dan 6 aplikasi terpilih iaitu Microsoft Teams, Zoom Meeting, Skype, Google Meet, CISCO Webex dan YouTube.

“Penuntut juga akan menikmati panggilan suara tanpa had dan 10GB kuota data bulanan. UniSZA juga memberi pinjaman pembelian komputer riba RM1,500 bagi setiap penuntut dengan peruntukkan RM900,000,” katanya.

Penuntut, Najwa Ayuni Mohd Zamri, 19, berkata, dia bersyukur keprihatinan UniSZA itu.



“Sebelum ini, saya belanja RM70 sebulan membeli data internet bagi mengikuti pengajian dalam talian.

“Alhamdulillah, pemberian itu banyak membantu meringan beban saya dan keluarga, malah sesi pembelajaran dapat diikuti dengan lancar tanpa sebarang gangguan liputan,” katanya.

Pada majlis itu juga, penyerahan simkad Celcom E-Learning diberikan kepada 93 penuntut terpilih dari sekitar Kuala Nerus secara pandu lalu manakala penerima lain diserahkan melalui pos.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button