Penjawat awam penentu kejayaan ‘belanjawan rakyat’
Teka-teki mengenai Belanjawan 2021 berakhir dengan pembentangan dokumen penting itu oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Dewan Rakyat kelmarin.
Nilai perbelanjaan RM322.5 bilion digariskan melaluinya adalah peruntukan paling besar dalam sejarah belanjawan negara. Untuk belanjawan kali ini, kerajaan meletakkan sasaran ke arah mencapai tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.
Bagi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), apa yang dibentangkan kelmarin disifatkan sebagai ‘belanjawan rakyat’. Melaluinya, segala harapan dan aspirasi rakyat diletakkan sebagai keutamaan tertinggi kerajaan.
Dalam keadaan yang sangat sukar ketika ini susulan COVID-19 melanda dunia termasuk negara kita, sudah tentu kerajaan perlu melihat semua golongan untuk diberikan perhatian sewajarnya. Ini penting untuk memastikan tiada kelompok tertinggal dalam kemelut ekonomi dan sosial.
Justeru, belanjawan kali ini tidak boleh lagi berkisar mengenai manfaat apa yang kita terima, tetapi yang perlu diutamakan adalah bagaimana kita boleh memanfaatkan apa yang diterima itu.
Dari sudut perkhidmatan awam pula, biarpun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan, fokus yang diberikan kerajaan untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan.
Sudah tentu sebagai agensi atau kumpulan yang akan melaksanakan penyampaian belanjawan khususnya Belanjawan 2021 ini kepada rakyat, sektor perkhidmatan kerajaan dan penjawat awam sendiri perlu diperkasa serta diberi perhatian sewajarnya.
Pandangan CUEPACS jelas bahawa belanjawan bukan semata-mata mengenai apa yang penjawat awam terima, tetapi lebih penting bagaimana kami sebagai kumpulan pelaksana akan menjadi pemudah cara dalam menyampaikan manfaat belanjawan kepada rakyat dan negara.
Jadi, tiada salahnya jika setiap kali belanjawan keutamaan diberikan kepada aspek pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan penjawat awam itu sendiri.
Pada akhirnya mereka inilah yang akan menggembleng tenaga dan keringat bagi memastikan setiap program dan dasar yang ingin dilaksanakan untuk rakyat berjaya direalisasikan.
Jika perkhidmatan awam dan warganya sendiri tidak diperkasa melalui peruntukan mencukupi, tentu sukar untuk kita meletakkan harapan penuh terhadap kejayaan program dalam belanjawan.
Kita semua perlu akui bahawa tanpa komitmen penuh penjawat awam yang menjadi nadi pentadbiran negara, semua program dan dasar kerajaan yang dirancang melalui belanjawan tidak dapat dilaksanakan.
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, semua pihak perlu bersama dengan perkhidmatan kerajaan dalam memastikan agenda pemulihan ekonomi negara melalui Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Jangan kita membuat andaian negatif terhadap perkhidmatan awam hanya semata-mata persepsi yang sering digambarkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.
Lihat saja bagaimana pandangan jujur Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan kelmarin. Beliau menyatakan sejak dilantik sebagai menteri hampir lapan bulan lalu, matanya terbuka kepada betapa komited dan teguh setianya penjawat awam dalam melaksanakan amanah yang diberi.
Tanpa mengenal penat lelah, Tengku Zafrul mengakui penjawat awam sudah berkhidmat melangkaui jangkaan dan rose beyond the call of duty untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
Begitu juga dengan usaha mencegah penularan COVID-19 berbahaya ini, dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan menyokong segala usaha dan usaha gigih yang sudah atau akan dilaksanakan penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan.
Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19 meliputi pelbagai manfaat seperti bekalan reagen, kit saringan, peralatan perlindungan diri dan cecair pembasmi kuman serta lain-lain perolehan untuk peralatan.
Program dan usaha mencegah penularan COVID-19 perlu diperkemaskan lagi kerana ia adalah indikator utama untuk mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19.
Tiada guna jika kita memberi pelbagai bantuan melalui belanjawan, tetapi usaha mencegah penularan COVID-19 tidak dilaksanakan dengan jelas dan berkesan.
Kita tidak akan dapat keluar daripada kemelut ekonomi dan sosial jika penularan COVID-19 tidak disekat atau direntan pada kadar yang paling minimum.
Ketika ini, penjawat awam bukan sahaja terbabit secara langsung sebagai barisan hadapan dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19, malah di belakang tabir mempunyai tugas yang cukup besar bagi memastikan kejayaan program yang dirangka kerajaan untuk pemulihan ekonomi lebih pantas.
Namun, ia bergantung sepenuhnya dengan kejayaan kita mengatasi penularan COVID-19 terlebih dahulu.
Jika penularan masih pada tahap membimbangkan, agenda pemulihan ekonomi sukar untuk dilaksanakan dengan pantas.
Adalah amat penting untuk membina semula ekonomi negara ke landasan yang sewajarnya supaya rakyat semua dapat kembali menikmati kesejahteraan hidup lebih baik seperti sebelum ini.
Ketepikan segala perbezaan yang ada atau wujud selama ini dengan bersama berganding bahu demi kelangsungan rakyat dan negara keluar daripada kemelut yang melingkari kita ketika ini.
Penulis adalah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
FELDA Adalah “Lubuk Harta Karun” Yang Menjadi Rebutan Penyamun Politik