Safawi janji aksi terbaik lawan Porto
KUALA LUMPUR: Porto mungkin menjadi ‘ujian sebenar’ pertama buat Safawi Rasid selepas pemain kebangsaan itu mengesahkan namanya tersenarai untuk aksi menentang gergasi Primeira Liga itu, awal pagi esok.
Sebelum ini, pemain itu hanya beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC dan perkembangan ini menyaksikan dia memiliki peluang meraih debut bersama pasukan utama.
“Bagi saya gembira dapat sertai pasukan ke Porto. Insya Allah jika dapat peluang bermain, saya bagi yang terbaik.
“Alhamdulillah sudah tersenarai untuk ke Porto. Main atau tidak, itu keputusan daripada jurulatih. Sudah tentu akan main seperti biasa (kalau diturunkan), kita buat yang terbaik,” katanya.
Jika pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diturunkan, dia akan muncul pemain kedua beraksi di liga utama Eropah musim ini selepas
Luqman Hakim Shamsudin bersama KV Kortrijk di Belgium.
Sebagai rekod, Safawi sebelum ini terlepas tiga aksi sejak tiba di bumi Portugal pada 3 Oktober lalu.
Dia sebelum ini tidak diturunkan dalam pertemuan menentang Maritimo pada 17 Oktober diikuti berdepan Tondela dan Santa Clara minggu lalu.
FELDA Adalah “Lubuk Harta Karun” Yang Menjadi Rebutan Penyamun Politik