Mana Peruntukan Kerajaan Sehingga Ada Arahan Kepada Agensi Cari Penyumbang Untuk Program Kembara Prihatin Rakyat?

Ibarat “Lembu Punya Susu, Sapi Dapat Nama”

Rina Harun

Yayasan Kebajikan Negara menerima arahan mencari penyumbang dalam bentuk barangan atau tunai bagi menjalankan program Kembara Prihatin Rakyat. Program ini dikelolakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rina Harun



“YBM telah arahkan YKN untuk bersama JKM bagi menyantuni masyarakat yang terkesan dengan pandemik covid19. YKN diminta untuk dapatkan sumbangan tunai mahupun barangan.” – kandungan arahan dari whatsapp.

Agak mengelirukan sekiranya Menteri selaku Pengerusi YKN meminta YKN bersama JKM mencari sumbangan untuk program yang menggunakan nama Kementerian.  Sukarkah YB Rina Harun memohon peruntukan bagi menyantuni golongan yang terkesan dengan pandemik Covid19 sedangkan PM sendiri muncul di kaca televisyen mengumumkan sejumlah bantuan kepada rakyat selama ini. YKN sendiri berada dibawah bidang kuasa YAB Perdana Menteri dan Menteri sendiri mempunyai akses kepada PM bagi memudahkan perolehan peruntukan. Ada maklumat menyatakan sejumlah RM3 juta telah diperuntukkan bagi program tersebut oleh PM tetapi arahan dikeluarkan mengarahkan YKN mencari dana bagi menjayakan program Kementerian.

JKM sebagai agensi kerajaan juga memerlukan peruntukan agak besar bagi menguruskan kebajikan rakyat dan mereka yang turut terkesan dengan covid19. Logik apa yang digunakan kalau Menteri meminta YKN mencari sumbangan sedangkan mereka (JKM &YKN ) sendiri memerlukan peruntukan daripada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan. Untuk rekod pernah ada isu timbul dengan peruntukan bakul makanan di bawah Kementerian. Harga bagi setiap bakul makanan dianggarkan RM100 tetapi apabila dinilai semula barangan dalam bakul makanan tersebut, harganya tidak sampai RM100 seperti diperuntukkan.

Menambah kekhuatiran sekiranya Program Kembara Prihatin Rakyat menggunakan tenaga kerja daripada parti politik yang dibawa masuk ke dalam agensi terbabit. Adakah Menteri boleh menjamin tiada unsur politiking atau menyerap ahli parti politik tertentu sebagai sukarelawan (politik) dalam pemberian atau senarai nama penerima sumbangan YKN? Program sebaik ini tidak boleh ada unsur kepentingan politik oleh mana-mana pihak. Sasaran penerima juga perlu jelas dan jangan hanya tertumpu pada 1 penempatan sahaja sedangkan ramai rakyat turut sama terkesan memandangkan keadaan ekonomi negara agak merudum.



Sesuai dengan pembentangan Belanjawan 2021, seharusnya Rina Harun memohon agar peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada Kementerian beliau dan YKN bagi membolehkan lebih banyak program menyantuni rakyat dilakukan. Mengapa perlu memberi tekanan kepada YKN dan JKM untuk mencari sumbangan?

KERTAS PUTIH FELDA – AZMIN KELU SERIBU BAHASA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button