ANAK KEEMPAT SELAMAT DILAHIRKAN – JAMAL ABDILLAH PILIH 11.11, MUDAH DIINGAT

Alhamdulillah… tahniah kami ucapkan kepada penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 61, atas kelahiran ‘Zack’ selepas isterinya, Datin Zai Izzati, 25, selamat melahirkan anak kedua mereka seberat 3.05 kilogram pada jam 4.01 petang semalam secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak.

Image_1.jpg

“Alhamdulillah.. atas rezeki yang dikurniakan Allah ini. Terkedu saya melihat wajah anak, putih sungguh. Kali ini perasaan gemuruh tu tak tahu nak cakap. Saya pula sibuk malam sebelum tu dengan konsert tiba-tiba dapat berita gembira ni, hilang semua penat,” tuturnya.

Jamal memilih nama El Issac Yamani atau dipanggil Zack untuk anak lelakinya itu. Terdahulu, Jamal pernah melahirkan hasratnya untuk menamakan anak keempatnya sebagai El Issac Yamani / Zack sebagai pelengkap kepada anak perempuan tunggalnya Nur Azura Yamani atau Azura.



Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

“Kepada semua yang memberi ucapan tahniah dan doa, saya dan isteri mengucapkan terima kasih. Kenapa saya pilih nama itu. Ini kerana panggilan hari-hari nanti adalah Zack sempena watak yang pernah saya lakonkan dalam filem Azura. Saya memang pilih ejaan Issac tetapi sebutan Melayunya ialah Ishak sempena nama nabi.

“Pun begitu, banyak juga pendapat dilontarkan kepada saya. Apabila saya pilih nama El Issac ini, ada yang kata El itu dari perkataan Yahudi, manakala Isaac (Ishak) dari Kristian,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.



“Jika ditanya pemilihan nama Issac, faktor utamanya disebabkan nama nabi. Saya tahu mesti orang ramai mempersoalkan kenapa saya memilih nama ‘Mat Saleh’. Nama hadapan El pula perkataan Arab yang banyak menggunakan ‘Al’ di hadapan,” katanya.

Image_3.jpg

Jamal berkata, ramai yang sedia maklum ia sebenarnya untuk Nabi Ishak, tapi masyarakat Barat menyebutnya sebagai Issac. Semalam, Jamal dalam kenyataannya sebelum ini berkata, dia bakal menyambut kelahiran anak keempatnya hari ini.

“Zai Izzati sepatutnya bersalin pada 17 November, namun kami memilih melakukan pembedahan esok (hari ini) kerana tarikhnya amat istimewa. Kami ambil tarikh 11.11.2020 kerana mudah nak ingat tarikh lahir Zack. Dulu Azura (Nur Azura Yamani) lahir pada 10.10.2019, tapi ketika itu ia hanya kebetulan,” jelas penyanyi lagu ‘Kekasih Awal Dan Akhir’ itu.



Untuk makluman, Jamal bernikah dengan Zai Izzati, 25, pada 1 April 2017. Beliau turut memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Image_4.jpg

Image_5.jpg

Image_6.jpg



Image_7.jpg

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button